Kempen Perikatan lancar, maklum balas masyarakat baik, kata Muhyiddin


Pengerusi Perikatan Nasional Muhyiddin Yassin berkata kempen PRN Johor berjalan lancar dengan pelbagai gerak kerja dilaksanakan di peringkat akar umbi. – Gambar fail The Malaysian Insight, 2 Mac, 2022.

KEMPEN Perikatan Nasional (PN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor yang memasuki hari kelima hari ini berjalan lancar dengan pelbagai gerak kerja dilaksanakan di peringkat akar umbi. 

Pengerusinya Muhyiddin Yassin berkata sepanjang aktiviti turun padang bersama calon, beliau menyaksikan penerimaan masyarakat setempat terhadap PN yang dianggotai Bersatu, PAS dan Gerakan amat memberangsangkan.

“Momentum bagus tapi baru bermula selepas penamaan calon…kita akan tingkatkan lagi di setiap peringkat, kita dah wujudkan di peringkat zon bilik gerakan pusat, bilik gerakan zon, ada pengarah-pengarah yang memantau kedudukan di setiap DUN (Dewan Undangan Negeri) yang kita tandingi serta tindakan intervensi untuk memperbaiki situasi di bawah, kempen dan lain-lain perkara. 

“Walaupun dikatakan Johor kubu kuat Umno, bila mereka (penduduk) melihat saya, ada keyakinan bahawa PN adalah satu parti yang baik,” katanya selepas bertemu masyarakat Cina di kawasan DUN Gambir hari ini.

Presiden Bersatu itu berkata PN mahu memulihkan semula ekonomi Johor dengan menekankan aspek pembangunan dan pada masa sama membentuk sebuah kerajaan negeri yang bersih, cekap dan berprinsip.

“Esok saya akan ke Johor Bahru semula kerana semua calon kita akan angkat sumpah bahawa mereka tidak akan melakukan rasuah dan salah guna kuasa…ini menunjukkan kesungguhan kita untuk membentuk kerajaan yang berintegriti,” kata Muhyiddin yang juga Pengerusi Majlis Pemulihan Negara (MPN).

Mengulas mengenai surat Pengerusi Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) Tun Dr Mahathir Mohamad kepada pengundi Johor yang mengaitkan beliau membantutkan usaha mendakwa Ahli Parlimen Pekan Najib Razak, Muhyiddin menolak dakwaan itu.

“Apa pula saya yang menggagalkan usaha untuk menghadapkan Najib atas apa perkara yang mereka lakukan? Saya menentang mereka, sebab itu saya jatuh dan saya tidak bersedia berkompromi dengan apa yang telah dilakukan kebobrokan, rasuah dan salah guna kuasa. Mahkamah akan buat keputusan dan ini bukan soal politik lagi tetapi soal undang-undang,” katanya.

Dalam suratnya hari ini, Dr Mahathir mendakwa Muhyiddin membelakangkan pengundi dan Pakatan Harapan kerana mahu menjadi perdana menteri. – Bernama, 2 Mac, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen