SUDAH lewat bagi Pengerusi Bersatu Muhyiddin Yassin berkempen menentang golongan kluster mahkamah dan kleptokrat Umno selepas dikhianati kumpulan itu, kata Dr Mahathir Mohamad.
Ini kerana usaha untuk menyekat golongan penyamun itu dari kembali berkuasa terbantut disebabkan Muhyiddin mengejar nafsu untuk menjadi perdana menteri kelapan, katanya.
“Kleptokrat sekarang berkuasa menukar kerajaan sesuka hati mereka. Nasib rakyat tidak dihirau oleh mereka.
“Agak terlewat bagi Muhyiddin melawan Umno. Terpulang kepada parti lain untuk menolak kleptokrat,” katanya dalam surat ketiga kepada pengundi dalam kempen pilihan raya negeri Johor.
Jelasnya usaha menyekat kleptokrat itu sudahpun mula membuahkan hasil apabila bekas perdana menteri Najib Razak yang digelarnya penyamun ditolak pengundi Johor dalam pilihan raya umum lalu.
“Kejayaan ini memperlihat ramai pengundi Johor tidak dapat menerima Umno yang menyokong seorang penyamun.
“Ianya lebih bermakna di Johor kerana terdapat kuasa bukan politik yang cuba mempengaruhi rakyat untuk mempertahan Najib dan Umno.
“Malangnya kejayaan itu terbantut apabila (Muhyiddin) yang mahu jadi perdana menteri, sanggup membelakangkan pengundi dan rakan lain dalam Pakatan Harapan untuk mencapai cita-citanya.”
Jelas Dr Mahathir, tindakan Muhyiddin melalui gerakan Langkah Sheraton pada 2020 menyebabkan beliau dan pemimpin lain yang setia kepada prinsip parti disingkir dari Bersatu.
Seterusnya, tepat seperti jangkaannya, Muhyiddin dikhianati oleh puak kleptokrat Umno selepas parti itu menguasai usaha mengambil alih kerajaan tahun lalu.
Ia membolehkan Naib Presiden Umno Ismail Sabri Yaakob dilantik menjadi perdana menteri kesembilan pada Ogos dalam kerajaan baharu yang turut disertai PAS.
“Saya telah ingatkan bahawa bekerjasama dengan kleptokrat dan kluster mahkamah Umno seumpama menunggang harimau dan dia akhirnya akan dibaham.
“Apa yang kita jangka sudah terjadi, (Muhyiddin) dikhianati oleh Umno, hilang jawatan perdana menteri dalam tempoh 17 bulan sahaja.
“Inilah hasil dari mengutama politik dan bukan prinsip,” kata Dr Mahathir lagi.
Calon partinya bertembung dengan calon Bersatu di banyak kawasan dalam PRN melibatkan 56 kerusi itu.
Seramai 239 orang calon layak bertanding dengan Barisan Nasional dan Perikatan Nasional mendahului dengan 56 calon.
Pakatan Harapan bertanding di 50 kerusi diikuti Pejuang (42), Muda (7), Warisan Sabah (6) PBM (4) serta Putra dan PSM masing-masing dengan seorang calon.
Dua kawasan iaitu Kempas dan Tiram menyaksikan pertandingan tujuh penjuru, pertandingan enam penjuru di empat kerusi, lima penjuru (lapan), empat penjuru (35) dan tiga penjuru (7). – 2 Mac, 2022.
Komen