SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) tidak akan meneruskan siasatan terhadap bekas perdana menteri Muhyiddin Yassin dan Ahli Parlimen Umno Tajuddin Abdul Rahman, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang) Wan Junaidi Tuanku Jaafar.
Beliau berkata agensi antirasuah mengklasifikasikan kedua-dua kes mereka sebagai “Tiada Tindakan Lanjut” (NFA).
“SPRM mendapati tiada unsur salah laku di bawah Akta SPRM,” katanya merujuk kepada kedua-dua kes Muhyiddin dan Tajuddin.
Wan Junaidi memberikan jawapan bertulis Parlimen kepada soalan yang diberikan Teo Nie Ching (Kulai-PH).
Muhyiddin disiasat kerana didakwa menawarkan jawatan dalam syarikat berkaitan kerajaan (GLC) sebagai pertukaran untuk sokongan politik manakala Tajuddin disiasat atas dakwaan salah guna kuasa.
Sebelum ini rakaman audio yang tidak disahkan mendakwa Muhyiddin mahu memikat pemimpin Umno menyertai Bersatu dengan janji-janji jawatan kerajana tersebar di media sosial.
Rakaman itu dipercayai dibuat pada mesyuarat Majlis Tertinggi Bersatu pada 23 Februari 2020 sehari sebelum Dr Mahathir Mohamad meletak jawatan sebagai perdana menteri dan pengerusi Bersatu.
Sementara itu bekas pengerusi Prasarana Tajuddin ditahan SPRM pada 28 Mei tahun lalu tetapi kemudiannya dibebaskan dengan ikat jamin.
Dilaporkan pihak berkuasa menahannya bagi membantu siasatan berkaitan pelantikan menantunya ke Prasarana.
Wan Junaidi bagaimanapun berkata siasatan terhadap Ahli Parlimen Kuala Langat Dr Xavier Jayakumar masih diteruskan.
Siasatan terhadap bekas menteri air, tanah dan sumber asli itu bermula Februari tahun lepas selepas agensi antirasuah itu menahan sekutunya dan timbalan ketua PKR Perak MA Tinagaran.
Xavier keluar PKR pada 2021. – 2 Mac, 2022.
Komen