MUHYIDDIN Yassin menafikan tanggapan beliau lebih senyap pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor berbanding bekas perdana menteri Najib Razak.
“Apa maksudnya saya senyap? Najib cakap mengarut. Dia banduan. Macam mana boleh nak percaya dia?” tanya Muhyiddin di Johor Bahru, hari ini.
Beliau ditemui pemberita selepas majlis pelancaran Ikrar Perikatan Nasional (PN) untuk PRN Johor.
“Saya tidak diam cumanya media tidak lapor apa saya cakap.”
Jentera PN juga katanya bekerja keras dan mereka tidak diberitakan dengan adil.
“Malah tidak adil bandingkan saya dengan Najib,” kata Muhyiddin.
Pengerusi PN berkata partinya berhasrat jadi kerajaan baharu di Johor melalui pilihan raya 12 Mac ini.
“Kita bertanding di semua 56 kerusi dan kita harap menang sebanyak mungkin kerana kita mahu bentuk kerajaan.
“Untuk itu kita mesti menang 28 kerusi campur satu dan itu sebabnya kita fokus pada calon.”
Muhyiddin juga berkata PN akan mengumumkan calon menteri besar apabila masanya tiba.
Setakat ini hanya Barisan Nasional yang mengumumkan calon menteri besarnya iaitu penyandang kerusi Benut Hasni Mohammad, yang juga sekarang menteri besar sementara. – 2 Mac, 2022.
Komen