PERIKATAN Nasional akan menyediakan air percuma (20 meter padu) kepada golongan berpendapatan rendah dan memberikan pengecualian sepenuhnya bayaran sewa tapak perniagaan milik Pihak Berkuasa Tempatan selama lima tahun jika ia memenangi pilihan raya Johor.
Selain itu, Perikatan juga akan memberikan bantuan khas kepada nelayan berdaftar dan menubuhkan Dewan Undangan Negeri Belia dan Yayasan Kepimpinan Anak Muda Johor sekiranya memenangi pilihan raya, kata pengerusinya Muhyiddin Yassin.
“Perikatan Nasional akan memastikan projek perumahan generasi baharu Felda yang sedang dibaik pulih disiapkan segera dan projek perumahan generasi baharu Felda terbengkalai yang berpotensi untuk dibaik pulih akan diselamatkan.
“Selain itu, premium tanah bagi semua lot tanah yang diluluskan oleh kerajaan negeri di bawah Program Pemberimilikan Lot Tanah Generasi Baharu Felda bagi tujuan pembinaan rumah oleh generasi baharu Felda ditetapkan pada kadar RM1.00 sekaki persegi,” kata bekas perdana menteri di Johor Bahru hari ini.
Muhyiddin berkata demikian ketika melancarkan Ikrar Perikatan Nasional Untuk Johor.
Ikrar berteraskan 8 tunjang utama, berpacukan 24 strategi dan berlandaskan 144 pendekatan,” kata Muhyiddin.
Lapan teras itu dibahagikan untuk menyokong pemimpin bebas rasuah, mengukuhkan ekonomi Johor, mengurus inflasi, mengukuhkan sosial dan masyarakat, membantu peneroka Felda, menambah baik infrastruktur Johor, menggiatkan semula sektor pelancongan dan melindungi alam sekitar.
Mengenai isu antirasuah, Perikatan berkata beliau akan melantik pembangkang untuk mengetuai Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara DUN dan mewajibkan semua Adun membentangkan perbelanjaan tahunan kawasan pilihan raya mereka di DUN.
Ia juga berjanji untuk memasukkan lebih ramai wakil NGO dalam kerajaan tempatan dan meningkatkan ketelusan projek kerajaan negeri.
Di bawah teras ekonomi, Perikatan berkata ia akan mengecualikan semua perniagaan daripada yuran pelesenan selama lima tahun.
Perikatan juga berjanji untuk memberi RM150 kepada setiap anak Johor daripada keluarga B40 dan menambah bilangan pusat jagaan kanak-kanak komuniti dalam kalangan masyarakat berpendapatan rendah. – 2 Mac, 2022.
Komen