Lanjutan tarikh akhir dos penggalak tiada kaitan dengan PRN Johor, kata Khairy


Ravin Palanisamy

Kerajaan melanjutkan tarikh akhir kepada semua warga emas dan individu penerima vaksin Sinovac, kepada 31 Mac bagi mendapatkan status vaksinasi penuh. – Gambar fail The Malaysian Insight, 2 Mac, 2022.

MELANJUTKAN tarikh akhir untuk warga emas berusia 60 tahun dan semua penerima vaksin Covid-19 jenis Sinovac, tidak ada kaitan dengan Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, kata Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau berkata lanjutan itu sebaliknya diberikan susulan ramai yang meminta ia dilanjutkan dan selepas tarikh akhir terbaru, tidak akan ada lagi tempoh tambahan.

“Tempoh lanjutan yang kita beri itu tidak ada kaitan dengan PRN Johor, tetapi kita berikan lebih masa sedikit untuk mereka yang masih belum melengkapkan dos penggalak.

“Ada banyak permintaan untuk melanjutkan tarikh akhir itu,” kata ahli Parlimen Rembau itu.

“Lanjutan kali ini juga, yang terkhir.

“Pada hujung bulan ini jika mereka (penerima Sinovac) tidak mengambil dos penggalak, maka status vaksinasi mereka akan berubah kepada tidak lengkap,” katanya.

Khairy berkata demikian ketika menjawab soalan Dr Dzulkedly Ahmad (Kuala Selangor-PH) yang bertanya adakah tempoh lanjutan diberika kepad apenerima vaksin Sinovac berusia 18 tahun ke atas, dan penerima vaksin warga emas 60 tahun ke atas ada kaitan dengan PRN Johor yang akan diadakan.

Minggu lalu, Khairy berkata kerajaan melanjutkan tarikh akhir kepada semua warga emas dan individu penerima vaksin Sinovac, kepada 31 Mac bagi mendapatkan status vaksinasi penuh.

Beliau berkata bermula 1 April, status vaksinasi individu yang belum menerima dos penggalak akan berubah kepada tidak lengkap. – 2 Mac, 2022.

Berita penuh di sini.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen