PAKATAN Harapan (PH) mengharungi Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor dengan mengambil pengajaran daripada keputusan PRN Sarawak dan Melaka, kata Maszlee Malik.
Calon PKR di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Layang-Layang itu berkata hasrat utama mereka menyertai PRN kali ini adalah untuk menang.
“Bagi PKR kita bertanding untuk menang, segala pengalaman kita dapat di Melaka dan Sarawak kami ambil iktibar dan pengajaran bagi memastikan kami akan berikan tentangan terbaik demi rakyat dan menjadikan Johor lebih maju,” kata ahli Parlimen Simpang Renggam itu.
Beliau berkata demikian ketika wawancara bersama The Malaysian Insight, di pejabatnya di Simpang Renggam, baru-baru ini.
Pada PRN Melaka PH hanya menang di lima daripada 28 kerusi DUN berbanding 15 kerusi dimenangi gabungan itu dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).
Hanya wakil DAP dan Amanah berjaya memenangi kerusi untuk gabungan PH dengan calon PKR tewas di semua kerusi yang mereka tandingi.
PH turut mengulangi prestasi buruk dalam PRN Sarawak apabila hanya menang dua kerusi melalui DAP di DUN Padungan dan Pending. Amanah dan PKR tewas di semua kawasan ditandingi.
Dalam PRN Sarawak, PH bertanding di 62 kerusi dengan DAP bertanding 26 kerusi, PKR di 28 kerusi, dan Amanah meletakkan calonnya di lapan kerusi.
Maszlee yang juga bekas menteri pendidikan sewaktu pentadbiran 22 bulan PH berkata, gabungan itu akan cuba memastikan seramai mungkin pengundi baharu dan pengundi yang pernah memilih mereka untuk keluar mengundi.
Katanya, tiada pendekatan khusus disasarkan kepada pengundi pertama kali memandangkan keadaannya berbeza mengikut kawasan dan calon yang bertanding.
“Tidak ada satu pendekatan khusus ia berbeza dari satu tempat dengan tempat yang lain dan setiap calon masing-masing.
“Yang pasti kita akan berikan yang terbaik untuk pastikan anak muda keluar mengundi dan mengundi PH.
“Bukan sahaja kepada orang muda tetapi juga kepada mereka yang pernah mengundi kami dan berada di luar untuk mengundi demi memastikan hak dan tanggungjawab setiap warga itu dapat mereka jalankan,” kata Maszlee.
Maszlee juga berkata, juga penting untuk parti politik memastikan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) akan datang gabungan politik meletakkan lebih ramai muka baharu.
Beliau berkata langkah itu boleh menjadikan politik tanah air menjadi lebih segar.
“Secara amnya, di Malaysia kita perlukan muka lebih segar, muka baharu, bakat profesional dan kompeten, mereka yang boleh jadikan suasana politik baharu berbanding politik lama sama ada di Johor atau peringkat nasional,” kata Maszlee lagi.
PH fokus menang Johor
Sementara itu, Maszlee menepis dakwaan mengatakan beliau bakal dicalon sebagai menteri besar Johor sekiranya PH menang PRN Johor.
Malah Presiden PKR Anwar Ibrahim pun tidak pernah mengeluarkan sebarang kenyataan berkaitan perkara itu, katanya.
“Saya tidak pernah mendengar daripada presiden parti, atau keputusan parti ia merupakan cakap-cakap di media, dan cakap cakap orang politik, kenyataan yang rasmi daripada parti tidak ada lagi, tidak ada dibincangkan,” kata Maszlee.
Jelas beliau, fokus utama PH adalah untuk menang di Johor sebelum memikirkan soal calon menteri besar.
“Saya fokus untuk menang DUN Layang-Layang bagi PH, hujungnya bila dah menang majoriti yang menentukan siapa jadi menteri besar adalah Tuanku Sultan,” kata Maszlee.
Semasa majlis pengumuman calon, Anwar berkata PH memberi pengecualian kepada Maszlee selaku ahli Parlimen untuk bertanding di kerusi DUN.
Penyertaan Maszlee sebagai calon di kerusi DUN mencetuskan khabar beliau adalah calon menteri besar gabungan itu sekiranya PH kembali memerintah Johor.
DUN Layang-Layang merupakan salah satu daripada dua DUN di kawasan di bawah Parlimen Simpang Renggam yang diwakili Maszlee, satu lagi adalah DUN Machap.
Ketika ditanya sama ada beliau menggalas tanggungjawab sekiranya dipilih sebagai menteri besar, Maszlee berkata pimpinan PH akan menentukannya. – 2 Mac, 2022.
Komen