Pakatan belum tentu luaskan kuasanya ke Johor


Chan Kok Leong

Dengan andaian Pakatan Harapan dapat mengekalkan kerusi sedia ada dan menang semua kawasan bandar dan pinggir bandar, ia akan menambah empat kerusi lagi di peringkat Parlimen. – Gambar fail The Malaysian Insight, 9 Februari, 2018.

PAKATAN Harapan (PH) belum tentu akan menguasai Johor pada pilihan raya umum (PRU) akan datang walaupun sudah menembusi kawasan bandar dan pinggir bandar di negeri itu, kata laporan Institut ISEAS-Yusuf Ishak di Singapura.

“Dengan andaian mereka (PH) dapat mengekalkan kerusi sedia ada dan menang semua kawasan bandar dan pinggir bandar, ia akan menambah empat kerusi (Tebrau, Johor Bahru, Pulai dan Pasir Gudang) di peringkat Parlimen.

“Dan sekiranya mereka menang dua lagi kerusi campuran dan luar bandar Labis dan Segamat, ini akan menjadikan semuanya 12 daripada 26 kerusi Parlimen,” kata Dr Francis E Hutchinson dalam laporannya.

Pada 2013, Pakatan Rakyat yang disertai oleh DAP, PKR dan PAS menang lima kerusi Parlimen – Bakri, Kulai, Batu Pahat, Gelang Patah dan Kluang – dan menggandakan jumlah kerusi negeri daripada enam kepada 18.

Sebuah lagi kerusi PH sekarang ialah Pagoh selepas Bersatu menyertai gabungan pembangkang itu tahun lalu.

Di peringkat negeri, peralihan sokongan kepada PH bukanlah mustahil tetapi agak sukar, kata felo kanan program pengajian Malaysia dan ekonomi serantau ISEAS itu.

“Daripada 37 kerusi negeri yang dipegang BN sekarang, 11 kerusi sengit. Daripada semua kerusi itu, lapan disandang oleh Umno, dan masing-masing satu oleh Gerakan, MCA dan MIC. Baki 26 kerusi lagi kebanyakannya di luar bandar dan majoriti Melayu yang dimenangi dengan majoriti yang kukuh,” katanya.

Beliau memberikan contoh kerusi DUN Sedili dan Penawar yang dimenangi dengan 85% undi. Beliau juga menyebut biarpun BN hilang undi lebih 10% di Parit Raja, Tanjong Puteri dan Buloh Kasap, tahap sokongannya masih lagi melebihi 60%.

“Ini bermakna untuk terus berkuasa di Johor, BN hanya perlu mengekalkan 26 kerusi utamanya dan menang tiga lagi kerusi,” kata Hutchinson.

Prestasi cemerlang BN

Ada tiga sebab kenapa BN masih ada kelebihan di Johor walaupun negeri itu ada banyak persamaan dengan Selangor dan Pulau Pinang yang sudah dua penggal diperintah oleh pembangkang, kata Hutchinson.

Ada tiga sebab kenapa Barisan Nasional masih ada kelebihan di Johor walaupun negeri itu ada banyak persamaan dengan Selangor dan Pulau Pinang yang sudah dua penggal diperintah oleh pembangkang. – Gambar EPA, 9 Februari, 2018.

Pertama, sejarah akrab Umno dengan negeri itu yang juga melahirkan barisan pemimpin parti tunjang BN di peringkat nasional.

Kedua, lumpuhnya pengaruh PAS, satu-satunya pesaing untuk undi Melayu,  apabila segala urusan agama Islam ditentukan secara ketat oleh Sultan Johor – sistem yang ada sejak sebelum Merdeka.

Ketiga, kejayaan Felda yang sangat berkesan di Johor dan pernah dipimpin pada peringkat awalnya oleh dua anak Johor iaitu Taib Andak dan Musa Hitam.

Hutchinson menarik perhatian bagaimana pada 2013, 86% pengundi di kawasan Felda yang terletak dalam 21 kawasan pilihan raya negeri mengundi untuk BN, berbanding antara 73% hingga 78% di Selangor, Kedah, Melaka, Perak dan Negeri Sembilan, 61-67% di Kelantan, Pahang dan Terengganu.

“Prestasinya cemerlang di Johor. BN sapu bersih 10 daripada 12 PRU (antara 1959 hingga 2008). Dalam dua pilihan raya itu, ia kalah satu kerusi iaitu Kluang kepada DAP pada 1978 dan Bakri, juga kepada DAP pada 2008.

“Prestasi BN ini tidak tertanding di negeri besar yang lain di Semenanjung seperti Selangor dan Perak, yang ditembusi oleh pembangkang dengan berkesan seawal 1969.

“Pilihan raya lain yang menyaksikan peralihan undi daripada BN seperti pada 1990, 1999 dan 2008 juga hampir tidak ada kesannya di Johor,” kata felo kanan itu. – 9 Februari, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen


  • kita perlu ingat bahawa pakatan amat sukar untuk menang jika berlaku perang 3 penjuru.Ini kerana kehadiran PAS akan mengurangkan undianya untuk kerusi setiap negeri .Dan ini akan menjadi peluang terbaik untuk BN untuk mengatasi parti lain terutama PH yang memerlukan bantuan dari PAS

    Dimuat naik 8 tahun yang lalu oleh Hana ghaoul · Ulasan