Pesan Rumi tentang kedamaian


Mohd Syazreen Abdullah

Sifat manusiawi yang ditemui dalam hakikat diri hanya dapat disemai bila saling bersikap baik sesama kita. – Gambar EPA, 2 Mac, 2022.

DALAM literatur tradisi klasik Islam kaya subur dengan pesan-pesan kemanusiaan dan kedamaian. Sayangnya umat hari ini terus leka untuk menyerap kefahaman tersebut. Kita boleh temukan banyak pesan-pesan kedamaian dalam karya-karya para ulama, filsuf dan sufi sejati. Salah satunya dari ulama sufi, Jalaluddin Rumi.

Banyak yang boleh kita pelajari dari tokoh sufistik ini. Lebih-lebih lagi mengenai konflik peperangan dan kemanusiaan yang berlaku dunia pada hari ini.

Seorang penekun karya Rumi, Afifah Ahmad yang berada di Iran tekun menulis mengenai puisi Rumi dengan penuh dimensi yang luas. Bukunya ngaji Rumi ini adalah percikan puisi-puisi asal Rumi sekali gus mengetuk kita untuk kembali mengingati dan menyebarluaskan kekayaan literatur klasik Islam. Khususnya tentang kedamaian daripada ulama sejati. Sudah tentu kajian tersebut membawa kita kepada tujuan perjalanan kerohanian Rumi iaitu mencari hakikat diri dan cinta.

Justeru, melalui buku ngaji Rumi oleh Afifah, kita dapat sesuatu. Bahawa Rumi mahu mengajarkan kepada kita untuk tidak mensia-siakan waktu kehidupan di dunia ini dengan berperangan, persengketaan, perpecahan. Amalan tersebut melanggar prinsip etika global yang berpaksikan toleransi, kemanusiaan dan kedamaian. 

Melalui puisi-puisi indah, Rumi menyeru kita untuk lebih menghargai kehidupan sesama manusia dengan cinta dan kasih sayang. Pesan Rumi dalam kehidupan yang serba singkat ini harus ditumpukan dengan melakukan kerja-kerja kebaikan, kemanusiaan dan kedamaian. 

Jangan bazirkan hidup kita dengan dendam dan kebencian.

Pesan-pesan Rumi bertepatan dengan krisis kemanusiaan dan perang hari ini. Misalnya di tengah konflik Rusia dan Ukraine, bahawa krisis keganasan dan peperangan yang meragut korban sehingga hari ini tidak pernah selesai. Sebagaimana krisis kemanusiaan dan perang di Yaman, Syria, sehingga konflik Palestin tidak kunjung reda. Tambah lagi perpecahan, pertikaian dan pergolakan kelompok ekstrimis dalam agama. 

Konflik-konflik tersebut seolah-olah menceritakan kepada kita bahawa kehidupan sudah punah harapan. Kata kedamaian sekadar ilusi.

Krisis keganasan hari ini telah mengingatkan semula sejarah kehidupan Rumi yang penuh mencabar. Pergolakan politik dan perang yang pernah terjadi dalam kehidupannya telah membangkitkan jiwa kecintaan dan kedamaian yang mendalam terhadap kehidupan. Rumi memilih sunyi bersama puisi-puisi untuk membangun kesedaran masyarakat dari krisis pergolakan.

Pesan tersebut adalah manifestasi dalam puisi-puisi beliau. Umat harus genggam seketat-ketatnya pesan kemanusiaan dan kedamaian beliau.

Pesan-pesan Rumi dalam karya agungnya Matsnawi. Rumi menyebut:

“Apa pun yang membuatmu nyaman, begitu juga orang lain ingin diperlakukan.” (Jilid 6; Bait 4528)

“Sesuatu yang tidak engkau sukai, mengapa kau timpakan kepada saudaramu.” (Jilid 6; Bait 1569)

“Bayangkan jika setiap perangai burukmu adalah duri berkali-kali duri terinjak oleh kakimu sampai tubuhmu tersakiti,

kau pun lelah dengan perbuatanmu, berulang kali,

tapi kau tak merasa, atau mungkin kau tak peduli,

jika kau lupa dengan luka yang kau semai lewat sifat tak terpuji tentu engkau akan selalu ingat rasa sakit yang pernah kau alami.”

(Jilid 2; Bait 1240-1242)

Karim Zamani salah seorang penafsir terbaik karya Rumi, menjelaskan puisi ini yang terinspirasi dari surat Saidina Ali RA kepada putranya itu termaktub dalam kitab Nahj al-Balaghah. Beliau menjelaskan;

“Wahai putraku, jadikanlah dirimu timbangan di antara kamu dan selainmu. Cintailah sesamamu sebagaimana engkau ingin dicintai. Janganlah berbuat sesuatu yang engkau tidak suka orang berbuat demikian pula kepada engkau. Jangan berbuat zalim sebagaimana engkau tidak suka dizalimi dan buatlah baik sebagaimana engkau ingin orang lain berbuat baik kepada engkau.”

Dalam pesan kedamaian, Rumi mengingatkan kita dalam puisi-puisi beliau:

Jangan kau katakan; “Semua orang bertikai, untuk apa aku bicara perdamaian?”

Engkau tidak sendiri, tapi seribu, tetaplah nyalakan lenteramu!

(Divan-e Kabir, Bait 1197)

Menelusuri puisi-puisi indah Rumi, semestinya kita akan menginsafi bahawa hidup di dunia ini terlalu singkat untuk kita berbalah dan semaikan perasaan kemarahan berbanding kasih sayang. Kasih dan cinta yang diajarkan Rumi sudah tentu merentasi sempadan bangsa, warna kulit dan agama. Tanpa diskriminasi.

Rumi mengajar kepada kita untuk belajar berdamai dalam diri. Mengenal diri sedalam-dalamnya. Membuang sikap ego dan perang dalam sanubari yang kecamuk. Amalan ini menjadi penawar kepada sikap ketamakan, ketidakadilan, kezaliman yang membawa manusia kepada sikap fanatik sekali gus membunuh kemanusiaan. 

Sikap kemanusiaan dan kedamaian serta benci keganasan yang diusung Rumi ini tentu sekali memerlukan keterbukaan jiwa dan semangat kecintaan mendalam sehingga memugarkan pemikiran inklusif dalam keagamaan dan kehidupan.

Demikian, akhirnya Rumi mahu kita hidup menjadi manusia berbuat baik kepada sesiapa pun.

Menghabiskan masa hidup dengan sikap-sikap kedamaian dan bencikan keganasan tanpa mengira bangsa dan agama. 

Perbezaan ras tidak membawa kepada kemuliaan. Tetapi cinta yang menghantarkan seseorang kepada darjat tertinggi dan kemuliaan.

Benarlah relevansi puisi-puisi Rumi dalam kehidupan kita sehingga hari ini bahawa: “Hakikat manusia ada pada hati (cinta), selebihnya hanya daging dan tulang.” – 2 Mac, 2022.

* Mohd Syazreen Abdullah adalah penulis buku Bercakap dengan Quran dan Membebaskan Allah Dari Islam. Beliau bekas penuntut pengajian Islam di Universiti Yarmouk, Jordan dan aktif menulis tentang isu-isu pemikiran agama dan budaya.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen