KEUTAMAAN menteri besar Johor sementara Hasni Mohammad ialah membuka semula sempadan antara negeri Johor dan Singapura jika beliau mendapat mandat baharu dalam pilihan raya negeri (PRN) akan datang.
“Ia akan menjadi keutamaan saya dan kami boleh memastikan 300,000 rakyat Malaysia yang pernah berulang-alik antara Johor Baru dan Singapura boleh melakukannya semula,” kata pemimpin berusia 62 tahun itu dalam wawancara dengan The Malaysian Insight di kediaman rasminya di Johor Bahru.
“Itu akan menjadi asas tumpuan saya sejurus selepas pilihan raya ini jika kita diberi mandat sekali lagi.”
Johor terjejas teruk oleh wabak Covid-19 dari 2020 hingga 2021.
Menurut laporan ISEAS Mei 2021, sektor peruncitan di Johor menurun sebanyak 70% pada 2020 berikutan penutupan sempadan dan penutupan Covid-19. Penginapan hotel juga menurun kepada 27% dengan sebanyak 14 hotel ditutup.
Kadar kemiskinan di Johor juga meningkat dua kali ganda daripada 3.9% pada 2019 kepada 8% pada 2020 dengan kemiskinan tegar meningkat 10 kali ganda daripada 0.2% pada 2019 kepada 2.5% pada 2020.
Walaupun pilihan raya sedang berlangsung, kompleks membeli-belah dan kawasan sekitar berhampiran Tambak kini lengang tanpa kehadiran pelancong Singapura pada hujung minggu.
Dan walaupun Malaysia dan Singapura telah memulakan Laluan Perjalanan Vaksin (VTL) tahun lepas, jumlah penumpang harian kekal rendah kerana terhad kepada hanya 1,440 sehari.
“Apa yang Johor minta ialah aturan ulang-alik harian. Ini bukan hanya pada angka sahaja tetapi pemahaman tentang bagaimana kedua-dua negara boleh bersetuju untuk membuka mengikut sektor-sektor pembinaan atau perkhidmatan misalnya.
“Mungkin, bukan terus 300,000 kerana ia tidak boleh dilaksanakan tetapi kita mesti mulakan dengan sektor tertentu. Jumlah itu pasti tidak boleh dilakukan di bawah VTL,” kata Hasni.
Selepas dua tahun berdepan wabak Covid-19, Hasni berkata kerajaan mesti beralih ke fasa endemik.
“Dengan semua vaksinasi di kedua-dua negara, kita sepatutnya boleh menganggap ia endemik sebagai cara menguruskan situasi Covid-19. Itu yang saya akan perjuangkan.
“Negeri sudah bersedia dari segi kemudahan ujian dan tenaga kerja untuk menjalankan pemeriksaan yang diperlukan dan mengurus secara keseluruhan.
“Kita mempunyai Tambak, Laluan Kedua Malaysia-Singapura dan kemudahan kereta api antara JB dan Singapura. Ini harus diambil kira dalam pembukaan semula sempadan Johor-Singapura,” kata Hasni.

Gelembung Johor-Singapura
Selain penutupan sempadan, Hasni berkata bahawa sekatan yang berpanjangan memberi kesan besar buat Johor.
“Apabila sektor perkilangan hanya dibenarkan beroperasi pada kadar 50% kita kehilangan hasil. Ini seperti dipukul dua kali,” kata Hasni.
“Jika boleh, saya sangat ingin Johor dan Singapura berada dalam gelembung. Jika itu berlaku, kita tidak akan terjejas teruk.”
Oleh itu, Hasni berkata beliau akan mendesak Putrajaya untuk merangka rancangan dengan Singapura yang membolehkan lebih banyak pergerakan antara kedua-dua negara.
Selain itu, Hasni berkata beliau juga tidak sabar untuk memulakan semula projek kereta api laju antara Kuala Lumpur dan Singapura.
Beliau berkata sama ada projek itu dari Kuala Lumpur ke Singapura malah sehingga ke Bangkok, Thailand, Johor pasti akan mendapat manfaat daripada projek ini.
“Ini kerana 350km jajaran itu berada di Johor. Jika ini menjadi kenyataan, kawasan sekitar di sepanjang jajaran itu pasti akan maju.
Beliau berkata projek HSR juga akan membantu rakyat Johor memperoleh kepakaran dalam industri rel.
“Sebenarnya, Universiti Tun Hussein di Batu Pahat telah pun diiktiraf untuk memperkenalkan kursus dalam teknologi rel. Ini akan memberi peluang kepada rakyat Johor untuk cemerlang dalam industri rel.
“HSR adalah sesuatu yang kami nantikan dan akan terus mendorong kerajaan persekutuan agar ia menjadi kenyataan.”
Projek HSR pertama kali dicadangkan oleh bekas perdana menteri Najib Razak pada 2010 dan disasarkan siap pada 2026.
Namun berikutan kekalahan BN pada 2018, projek itu ditamatkan secara rasmi oleh kerajaan Perikatan Nasional pada 2021. Tetapi berikutan peletakan jawatan perdana menteri Muhyiddin Yassin tahun lepas, penggantinya Ismail Sabri Yaakob sekali lagi telah meminta rundingan baharu dengan Singapura. – 2 Mac, 2022.
Komen