Warisan bukan mahu pecah undi pembangkang di Johor, kata naik presiden


Chan Kok Leong

Naib Presiden Warisan Junz Wong menafikan dakwaan yang partinya bertanding di Johor untuk memecahkan undi, berkata calon-calon yang diletakkan di enam kerusi di Johor dibuat berdasarkan sokongan yang diterima parti. – Gambar fail The Malaysian Insight, 1 Mac, 2022.

WARISAN tidak berhasrat menjadi pemecah undi dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor walaupun meletakkan calon di kerusi ditandingi pembangkang, kata Naib Presiden Junz Wong.

“Kami pilih kerusi berdasarkan sokongan yang kami dapat kumpulkan di sini dan kerusi ini ada lebih 55 peratus pengundi Melayu,” kata Wong pada sidang media untuk calon Warisan Lee Ming Wen di Bukit Batu hari ini.

Tambah bekas Adun DAP Likas itu, Warisan tidak memilih kerusi Johor yang akan ditandinginya itu berdasarkan penyandangnya.

Beliau berkata Warisan baru dilancarkan di Semenanjung Malaysia pada 17 Disember dan tidak ada masa yang cukup untuk menubuhkan cawangan.

Wong yang kini Adun Tg Aru di Sabah berkata Pakatan Harapan (PH) bukan lagi pilihan ramai pengundi malah Warisan hanya menyediakan alternatif kepada pengundi semenanjung yang mahukan parti politik bukan berasaskan kaum.

Beliau berkata demikian sebagai menjawab soalan Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng yang mendakwa Warisan cuba pecahkan undi DAP pada PRN Johor.

Warisan bertanding 6 daripada 56 kerusi dalam PRN Johor.

Calon Warisan di enam kerusi itu ialah Hishamuddin Busri di Pekan Nenas, Sandara Segaran Arumugam (Bekok), Chen Hain Kai (Johor Jaya), Mohamed Noor Suleiman (Mahkota), Lee Ming Wen (Bukit Batu) dan Mohamed Ridza Bush (Permas).

Daripada enam kerusi itu, Bekok, Johor Jaya, Pekan Nanas disandang DAP manakala Mahkota dan Bukit Batu disandang PKR. Kerusi Permas dimenangi Bersatu pada pilihan raya lalu.

Dalam pada itu Wong menegaskan Warisan mahu bertanding bagi menentang Barisan Nasional.

“Selepas ini mungkin ada PRN Kedah dan di sana kita akan bertanding menentang BN,” kata Wong yang mengaku kekuatan Warisan adalah di kerusi campuran.

Calon Lee, yang merupakan bekas pemimpin PKR, enggan mengulas soalan Warisan berada di Johor untuk memecahkan undi pembangkang. – 1 Mac, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen