FELDA telah memberi jaminan bahawa tiada seorang pun pegawainya yang didapati terlibat dalam perjanjian tanah yang meragukan di Jalan Semarak akan terlepas dari tindakan undang-undang.
Ini termasuklah bekas pengerusi Felda Mohd Isa Samad dan semua anggota lembaga Felda yang bertanggungjawab terhadap agensi tersebut ketika perjanjian itu berlangsung antara 2014 dan 2015, kata pengerusi Felda Shahrir Samad.
Walaupun tidak menyebut nama Isa Samad, Shahrir berkata, audit forensik yang dilakukan ke atas perjanjian itu menyarankan semua pegawai agensi tersebut termasuk ahli lembaga pengarah disiasat.
Shahrir berkata, Felda akan mengambil tindakan disiplin terhadap pegawai yang terlibat dengan perjanjian itu termasuklah mereka yang tidak lagi bertugas dengan agensi itu.
Masih ada beberapa anggota lembaga pengarah Felda yang kini masih berkhidmat ketika perjanjian itu berlaku, manakala Isa telah lama bersara.
“Tindakan yang boleh diambil termasuklah pemecatan, turun pangkat, potong gaji. Tetapi, bagi mereka yang tak lagi menjadi pegawai dalam pengurusan Felda, akan dikenakan mengikut jalan perundangan,” kata Shahrir kepada pemberita di ibu pejabat Felda malam tadi.
“Jawatankuasa siasatan akan melihat tahap keterlibatan lembaga Felda dan FIC (Felda Investment Corporation) dalam perjanjian itu, kemudian mengikut laporan siasatan, tindakan akan diambil.
“Audit tidak sebut nama tetapi secara kolektiflah terhadap lembaga Felda dan FIC pada masa itu (ketika perjanjian berlaku),” kata Shahrir.
Beliau mengakui siasatan akan dijalankan terhadap semua peringkat meliputi pegawai dari peringkat tertinggi sehingga peringkat terendah.
“Lembaga Felda itu termasuklah pengerusi,” kata Shahrir menjawab soalan pemberita.
Felda turut akan meneliti sama ada boleh mengambil tindakan undang-undang terhadap Synergy Promenade Sdn Bhd (SPSB), pemaju yang terlibat menukar hak milik tanah Felda itu.
Berikutan audit forensik ke atas transaksi perjanjian itu, Felda telah menubuhkan jawatankuasa untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap pegawai yang didapati bersalah.
Tindakan terhadap individu terbabit hanya akan dilaksanakan jika mereka didapati terlibat dengan perjanjian itu.
Audit forensik terhadap perjanjian Jalan Semarak itu menunjukkan terdapat unsur penyalahgunaan kuasa dan penipuan apabila hak milik empat lot tanah itu dipindahkan hak miliknya menjadi milik SPSB antara tahun 2014 hingga 2015.
SPSB dilantik Felda untuk membangunkan Kuala Lumpur Vertical City Project (KLVC) di atas tanah yang bernilai RM270 juta itu.

Sebelum ini Shahrir pernah membuat laporan polis dengan mendakwa terdapat unsur penipuan dalam urusan perjanjian itu apabila pemaju menyalahgunakan kuasa untuk menukar hak milik tanah Felda.
Katanya, kebiasaanya, pemaju dilantik untuk membangunkan projek manakala hak milik tanah dan harta itu masih hak milik kekal pemilik yakni Felda.
Polis berkata Isa, bersama beberapa individu lain sedang disiasat berhubung penglibatan dalam skandal tanah itu.
Pada Januari, Shahrir berkata SPSB bersetuju menyerahkan dokumen yang akan membenarkan Felda mendapatkan balik hak milik tanah itu.
Sementara itu, projek KLVC tetap berjalan walaupun Felda mendakwa yang ia sedang mengadakan rundingan semula perjanjian itu.
Dalam pada itu, pengkritik Felda mempersoal kenapa agensi itu masih berurusan dengan SPSB walaupun syarikat itu terlibat dalam pertukaran hak milik tanah.
Berikutan itu, Shahrir berkata yang agensi tidak boleh semudahnya membatalkan perjanjian pembangunan dengan KLVC.
“Apa yang mustahak, kita perlu mengembalikan hubungan Felda dengan pemaju kepada keadaan yang normal, biasa, di mana tanah itu harus dikembalikan kepada Felda. Itu persetujuan yang kita capai dalam perjanjian persefahaman antara Felda dan SPSB.
“Buat masa ini, kita tak boleh membatalkan perjanjian pembangunan. Itu bahaya. Jadi, kita akan runding, kita buat perundingan.”
“Tetapi cerita belum habis. Yang mustahak ialah kita kena jadikan hubungan antara Felda sebagai tuan tanah dengan pemaju sebagai hubungan biasa.
“Tanah mesti dimiliki oleh tuan tanah. Pemaju tak pegang tanah itu, jadi kita kena kembalikan kepada keadaan biasa,” katanya.
Shahrir bagaimanapun tidak pasti sama ada pembangunan projek KLVC akan diteruskan atau tidak. Katanya, ia bergantung kepada pemaju. – 9 Februari, 2018.
Komen