SPEAKER Dewan Rakyat Azhar Azizan Harun hari ini berkata beliau tidak mempunyai kuasa untuk mengarahkan Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Azam Baki untuk hadir ke Parlimen.
Azam akan disoal siasat oleh Jawatankuasa Pilihan Khas (PSC) mengenai Agensi di bawah Jabatan Perdana Menteri berhubung dakwaan pemilikan sahamnya.
Azhar berkata beliau tidak terlibat dalam mana-mana jawatankuasa di Parlimen.
“Ia bukan dalam bidang kuasa saya untuk memanggil sesiapa atau menghalang sesiapa daripada dipanggil. Tiada kuasa (diberikan) kepada saya untuk memanggil sesiapa untuk menghadiri PSC.
“Hanya PSC sahaja yang berhak memanggil sesiapa sahaja. Kita kena ikut apa yang dinyatakan dalam peraturan mesyuarat.”
Azhar menjawab soalan Khoo Poay Tiong (Kota Melaka-PH) yang bertanya mengapa Azam tidak mahu datang ke Parlimen.
“Beliau (Azam) memberi alasan kita hanya memberi surat jemputan dan bukannya sepina.
“PSC ada hak untuk memanggil Azam. Beliau datang ke Parlimen sebelum ini, jadi kenapa kerana isu saham ini beliau tidak mahu datang?”
Azhar berkata beliau tidak mempunyai kuasa untuk mengarahkan mana-mana pengerusi PSC mengenai perkara yang patut atau tidak patut mereka lakukan.
“Saya tahu Azam telah menulis surat kepada PSC untuk membincangkan beberapa isu undang-undang. Saya tidak mahu membahasnya.
“Beliau mahu bangkitkan isu tertentu, jadi pengerusi kosongkan tarikh (untuk Azam datang ke Parlimen).
“Isu Azam tidak mahu datang ke Parlimen tidak dibangkitkan.”
Pada 13 Februari, Azam berkata beliau tidak menghadiri mesyuarat PSC untuk membincangkan kesnya kerana beliau hanya menerima “jemputan” dan bukan sepina.
“Jika ia adalah sepina saya akan hadir kerana sebagai pegawai penguat kuasa, saya tahu undang-undang dan mesti menghormatinya.
“Bukan saya enggan hadir tetapi saya sekadar menegaskan kepada setiausaha Parlimen bahawa di bawah Peraturan 83 (4) Peraturan Mesyuarat Dewan Rakyat, perbincangan jawatankuasa pilihan hendaklah terhad kepada perkara yang dirujuk kepadanya oleh Dewan.
“Jika ada rujukan daripada Dewan, saya pasti akan menghadiri mesyuarat itu. Saya percaya mereka faham maksud saya dan sebab itu mesyuarat itu ditangguhkan,” katanya kepada The Star.
Pada bulan Januari, Suruhanjaya Sekuriti berkata ia tidak dapat memastikan secara muktamad sama ada Azam telah melanggar undang-undang dalam membenarkan akaun dagangannya digunakan oleh adiknya untuk pembelian saham pada 2015 dan 2016.
Saham yang dikatakan dimilik Azam ialah 2.15 juta dalam Excel Force MSC Bhd pada 2015, serta 1.93 juta saham dalam Gets Global Bhd pada tahun yang sama dan 1.02 juta saham pada tahun berikutnya. Pada masa ini Azam adalah pengarah siasatan SPRM.
Pada sidang media pada 5 Januari, Azam berkata saham itu dibeli oleh adiknya Nasir menggunakan akaun dagangan miliknya, dan ia kemudiannya dipindahkan kepada adiknya, menyebabkan beliau tidak mempunyai faedah kewangan.
Menurutnya beliau juga memaklumkan kepada pihak atasan mengenai pembelian itu dan mereka tidak menimbulkan sebarang kebimbangan. – 1 Mac, 2022.
Komen