Siasatan SPRM terhadap 5 pegawai Mara Corp lengkap 


Alfian Z.M. Tahir

Ketua Pesuruhjaya SPRM Azam Baki pada sidang akhbar hari ini berkata tindakan mungkin diambil terhadap mereka minggu depan.– Gambar The Malaysian Insight oleh Kamal Ariffin, 1 Mac, 2022.

SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) melengkapkan siasatan terhadap lima pegawai Mara Corp kerana didakwa melanggar peraturan dalam mendapatkan tuntutan mereka yang tertunggak.

Ketua pesuruhjayanya Azam Baki memberitahu sidang akhbar tindakan mungkin diambil terhadap mereka minggu depan.

“Siasatan sudah dilengkapkan dan Jabatan Peguam Negara (AGC) telah dimaklumkan. Kemungkinan besar keputusan daripada AG minggu depan,” katanya hari ini.

Pada 7 Februari, SPRM menyerbu syarikat pelaburan Majlis Amanah Rakyat (Mara) Mara Corp berhubung dakwaan salah laku melibatkan lima pegawainya.

Sumber memberitahu The Malaysian Insight serbuan itu berlaku sebelum tengah hari dengan agensi anti rasuah merampas beberapa dokumen.

Sebelum serbuan itu, The Malaysian Insight melaporkan lima orang yang namanya disebut dalam tweet @EdisiSiasat berhubung dakwaan salah laku dan salah guna kuasa dalam Mara Corp telah membuat laporan polis.

Noor Irwan Marmin, Iskandar Zainudin, Rizal Abdul Gani, Mohd Faizal Mohd Top, dan Mohd Firdaus Zubir membuat laporan terhadap Pengarah Eksekutif Mara Corp Suhaili Abdul Rahman, yang menuduh mereka “tidak mengikut prosedur yang betul apabila membuat tuntutan dan elaun yang tertunggak”.

Dalam laporan polis yang dilihat The Malaysian Insight, empat daripada mereka, Noor Irwan, Rizal, Faizal dan Firdaus menafikan mereka telah melanggar prosedur seperti yang didakwa Suhaili dalam surat rasmi kepada Pengerusi Mara Azizah Mohd Dun pada 30 Januari.

Dalam surat kepada Azizah, yang turut diberikan kepada The Malaysian Insight, Suhaili menuntut agar siasatan bebas dijalankan terhadap lima lelaki itu.

Sementara itu, Iskandar, dalam laporan polis berasingan, berkata Suhaili tidak merujuk kepada lembaga pengarah Mara sebelum menghantar surat siasatan kepada Azizah.

Beliau berkata dengan tidak merujuk kepada lembaga pengarah, Suhaili cuba mengalihkan perhatian sebenar dakwaan salah laku dalam Mara kepada orang lain. – 1 Mac, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen