Bimbang perintah berkurung, penduduk Hong Kong buat pembelian panik


Hong Kong merancang menyaring semua 7.4 juta penduduk bulan ini dan mengasingkan mereka yang mempunyai jangkitan sama ada di rumah atau kem. – Gambar EPA, 1 Mac, 2022.

PENDUDUK Hong Kong menyerbu pasar raya dan melakukan pembelian panik susulan ketidakpastian rancangan pelaksanaan perintah berkurung oleh kerajaan bulan ini.

Gambar yang tersebar di media sosial menunjukkan orang ramai mengalami kesukaran mendapatkan pelbagai barangan termasuk daging, sayur-sayuran, makanan sejuk beku, mi, parasetamol dan kit ujian.

Hab kewangan itu kini berada dalam cengkaman wabak koronavirus paling teruk, mencatatkan puluhan ribu kes baharu setiap hari, lambakan kemasukan ke hospital dan menggagalkan strategi sifar-Covid di bandar itu.

Pihak berkuasa merancang untuk menyaring semua 7.4 juta penduduk bulan ini dan mengasingkan semua mempunyai jangkitan sama ada di rumah atau beberapa kem yang masih dibina dengan bantuan tanah besar China.

Pemimpin bandar Carrie Lam pada mulanya menolak perintah berkurung seperti tanah besar dengan orang ramai tidak dibenarkan keluar rumah ketika tempoh ujian saringan dijalankan.

Tetapi pada Isnin, ketua kesihatan Sophia Chan mengesahkan ia masih dibincangkan, sehari selepas pegawai kanan kesihatan China menyifatkan ia sebagai pilihan terbaik.

Pada Selasa beberapa media Hong Kong pro-kerajaan yang memetik sumber rasmi juga berkata pihak berkuasa sedang melihat pelbagai pilihan perintah berkurung bagi tempoh ujian.

Sebagi satu daripada bandar paling padat penduduk di dunia, pasar raya Hong Kong mempunyai ruang penyimpanan bilik belakang yang terhad dan menyaksikan gelombang pembelian panik pada permulaan wabak dua tahun lalu.

Sebilangan besar makanannya diimport dari tanah besar China dan masalah bekalan semasa diburukkan oleh pemandu lori rentas sempadan yang dijangkiti varian Omicron.

Lebih 190,000 jangkitan direkodkan dalam dua bulan lepas berbanding hanya 12,000 sepanjang wabak itu.

Kerajaan mengeluarkan kenyataan lewat Isnin mengatakan bekalan makanan masih berterusan dan tiada keperluan pembelian panik.

Tetapi penganalisis berkata ketidakpastian dan ketidakpercayaan menyemarakkan tabiat pengguna.

“Kami mempunyai begitu banyak soalan tetapi semua jawapan ‘akan disahkan’,” kata Chan Ka-lok, seorang sarjana politik antarabangsa di Universiti Baptist, menulis di media sosial.

“Tergesa-gesa untuk membeli dan menyimpan stok, biarkan orang ramai memutuskan bagaimana untuk menjalani kehidupan mereka.”

Tom Grundy, editor laman web berita Hong Kong Free Press, menyifatkan pembelian panik terkini sebagai “kegagalan besar komunikasi kerajaan”.

“Peraturan berubah setiap beberapa hari, pusingan-u, statistik yang gagal, pendedahan data yang lemah,” tulisnya di Twitter.

Kepercayaan terhadap jaminan kerajaan adalah rendah di Hong Kong, dengan pihak berkuasa melaksanakan tindakan keras selama dua tahun terhadap perbezaan pendapat selepas protes demokrasi besar.

Keputusan untuk menguji penduduk secara besar-besaran juga merupakan dasar pusingan-u—Lam sebelum ini menolak langkah sedemikian sebelum menyokongnya bulan lepas. – AFP, 1 Mac, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen