PARTI pembangkang tidak lagi sukar memasuki kawasan tanah rancangan peneroka Felda selepas mereka bukan lagi deposit tetap Barisan Nasional (BN), seperti yang ditunjukkan pada pilihan raya umum sebelum ini.
Selepas kejatuhan BN dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14), pengundi daripada kalangan peneroka mula terbuka menerima kehadiran parti lain di kawasan mereka.
Umno dan BN hilang kuasa pada 2018 antaranya kerana kemarahan pengundi kelompok ini yang tidak memilih parti itu sebaliknya memberi undi kepada Pakatan Harapan (PH) atau PAS.
Timbalan Ketua Peneroka Wilayah Segamat Mohd Rashidi Ismai berkata generasi anak peneroka sepertinya lebih terbuka menerima kehadiran mana-mana parti di kawasan Felda.
“DAP pun kalau nak masuk (berkempen) di dalam Felda tidak ada masalah, kita alu-alukan,” katanya kepada The Malaysian Insight.
Rashidi, 37, adalah generasi ketiga di Felda Ayer Hitam.
Daripada keseluruhan 56 DUN di Johor, sekitar 20 kawasan DUN mempunyai pengundi peneroka Felda.
Kawasan Parlimen Simpang Renggam yang mempunyai dua kawasan DUN misalnya mempunyai dua kawasan Felda; Felda Ayer Hitam terletak dalam kawasan DUN Machap manakala Felda Layang-Layang bawah DUN Layang-Layang.
Calon PH pada PRU14, Maszlee Malik berjaya menewaskan calon BN dari Gerakan di kawasan Parlimen namun dua DUN di bawahnya, iaitu DUN Layang-Layang dan Machap kekal bersama BN.
Maszlee ketika itu bersama Bersatu menewaskan Setiausaha Agung Gerakan Liang Teck Meng, yang merupakan penyandang kerusi tersebut.
Pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor kali ini Maszlee yang juga bekas menteri pendidikan mencuba nasib bertanding di DUN Layang-Layang, dan disebut-sebut calon menteri besar PH sekiranya gabungan itu berjaya menawan kembali Johor.
Rashidi yang juga mantan naib presiden Majlis Belia Felda berkata generasi muda sepertinya turut menyediakan ruang khas untuk calon setiap parti berkempen dalam PRN Johor.
“Kita di Felda Ayer Hitam juga menyediakan ‘speaker corner’ untuk membolehkan mana-mana calon daripada mana-mana parti berkempen di dalam Felda.
“Daripada keseluruhan 72 tanah rancangan Felda di Johor, kita wujudkan ‘speaker corner’ di 10 kawasan termasuk di Felda Ayer Hitam,” kata Rashidi, yang lebih dikenali sebagai Param oleh penduduk setempat.

BN masih dominasi
Bagaimanapun, Rashidi menjangkakan pengundi akan kembali kepada BN kali ini kerana peneroka mahukan kestabilan.
Corak pengundian PRU14 katanya tidak akan berulang kerana mereka sudah tahu keupayaan pembangkang, terutamanya PH dalam mentadbir kerajaan sewaktu memerintah selama 22 bulan.
“Ya benar, kita terbuka terima sesiapa saja masuk ke Felda, tetapi daripada segi undi kita percaya peneroka masih menyokong BN.
“Pengundi peneroka berusia atas 30-an mereka biasanya sudah ada pilihan dan tidak perlu kita yakinkan.
“Yang kita utamakan sekarang pengundi baharu, yang pertama kali akan mengundi di PRN ini,” katanya.
Ahmad Muzammil Borhan, 33, dari Felda Tenang, Labis pula melihat trend kumpulan peneroka Felda akan berbalik kepada BN berikutan sudah merasakan corak pentadbiran PH selepas PRU14.
Ada juga generasi pengundi dalam lingkungan 30 hingga 40 tahun yang mungkin tidak akan keluar mengundi, katanya.
“Kalau di tempat saya, yang tukar ini golongan muda mengubahnya, orang tua masih setia, tetapi bila keadaan sekarang, orang tua sedia ada kekal (sokongan) cuma golongan muda tak balik mengundi atau mengundi kembali kepada yang biru yang asal.
“Sebab kita dah cuba, nak tukar (kerajaan), dah berlaku tebuk atap, semua hasilnya kita dah lihat, sekarang kembali kepada biru tua, biru yang asal,” katanya, merujuk kepada BN.
“Kita dah tukar macam-macam warna, hasilnya sama saja… macam saya yang muda ini mungkin ada yang tidak balik mengundi,” katanya.
Peribadi calon, bukan parti
Ketua Armada Felda Ayer Hitam Azmi Mohd Koon, 37, pula berpandangan untuk PRN Johor kali ini pengundi tidak lagi melihat kepada lambang dan parti sebaliknya memerhatikan peribadi calon.
“Orang lihat siapa boleh bekerja, bukan parti politik. Itu seni politik sekarang. Kalau masuk sini (kawasan Felda) tapi tak boleh bawa suara belia, buat apa kita pilih dia,” katanya.
Beliau berkata sebagai perbandingan, BN mempunyai kelebihan apabila mempertaruhkan bekas exco Onn Hafiz Ghazi di DUN Machap. Beliau juga penyandang kerusi DUN Layang-Layang.
“BN letakkan calon berkaliber, Onn Hafiz, siapa tak kenal beliau. Kita tahu gerak kerja mereka, laju macam mana.
“Kalau saya dari PN sendiri, di kawasan saya ini memang saya lebih kepada beliau sebab kita tahu beliau boleh bekerja.
“Nak undi muda tapi letak orang tua, parti nak peremajaan tapi letakkan orang tua, itu salah… mudanya di mana,” katanya.
Onn Hafiz berhadapan Ketua Pejuang Johor Shahruddin Md Salleh, Ketua Dewan Ulama PAS Johor Azlisham Azahar dari Perikatan Nasional (PN) dan calon Muda R Sangaran.
Penggerak Pejuang yang hanya mahu dikenali sebagai Izzat, 40, pula berkata parti baharu itu berpeluang menarik undi peneroka yang berada di kelompok atas pagar.
Pejuang juga katanya, mungkin berpeluang menarik sokongan anak muda yang enggan terlibat dengan parti besar seperti BN dan PN.
“Sambutan kita terima tidaklah seperti PN, BN, PH tapi sokongan kita daripada mereka yang tidak tunjuk sokongan ke mana-mana, pengundi baru pun kita tak tahu lagi ke mana arah sokongan mereka.
“Jentera yang turun berkempen pun belum tentu akan sokong calon yang mereka kempen,” katanya. – 3 Mac, 2022.
Komen