Krisis Ukraine selubungi prospek ekonomi Singapura


Krisis Ukraine beri impak kepada pertumbuhan KDNK Singapura. – Gambar AFP, 1 Mac, 2022.

KRISIS Ukraine menyelubungi prospek ekonomi Singapura, kata Menteri Perdagangan dan Industri Singapura Gan Kim Yong.

“Impak sebenar kepada pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) dan inflasi sukar untuk dianggarkan pada peringkat ini susulan daripada keadaan tidak menentu ketika ini,” katanya ketika menyampaikan Kenyataan Belanjawan Tahun Kewangan 2022 bagi kerajaan Singapura di Parlimen di Singapura, semalam.

“Banyak akan bergantung kepada bagaimana konflik itu akan berakhir, tindak balas global terhadap situasi itu dan kesan jangka panjang terhadap ekonomi global,” katanya.

Bagaimanapun, beliau berkata apa yang jelas ialah tekanan inflasi berkemungkinan meningkat lagi dalam tempoh terdekat terutamanya melalui kenaikan harga barangan berkaitan minyak pada peringkat permulaan.

“Risiko penurunan kepada ekonomi Singapura juga meningkat dengan ketara,” katanya.

Singapura mengunjurkan bahawa KDNK negara itu akan berkembang antara 3.0% hingga 5.0% tahun ini, dengan inflasi Indeks Harga Pengguna (IHP) meliputi semua barang antara 2.5% dan 3.5%.

Mengenai sekatan dikenakan terhadap Rusia oleh pelbagai negara dan gangguan kepada bekalan, Gan memberitahu harga tenaga global dan produk lain dijangka meningkat dalam beberapa minggu akan datang,

“Satu bidang utama yang akan menjejaskan Singapura dengan ketara oleh konflik di Ukraine ialah kos tenaga, kerana Singapura mengimport sebahagian besar keperluan tenaga negara,” katanya.

“Kita melihat dalam beberapa bulan kebelakangan ini kenaikan harga minyak dan gas asli global telah berlaku dan Rusia merupakan pengeksport utamanya,” katanya.

Sebagai contoh, harga gas asli cecair (LNG) meningkat dua kali ganda daripada kira-kira AS$17 setiap juta unit terma British (MMBtu) kira-kira setengah tahun lepas kepada kira-kira AS$35 (AS$1=RM4.19) ketika ini, kata Gan.

Penanda aras global minyak mentah Brent juga melonjak melepasi AS$100 setong beberapa hari lalu, berbanding secara puratanya pada AS$71 tahun lepas, katanya lagi.

“Krisis itu juga akan memberi kesan kepada rantaian bekalan global kerana Rusia dan Ukraine merupakan pengeksport utama komoditi seperti gandum dan logam seperti nikel dan paladium,” katanya.

“Gangguan kepada bekalan komoditi ini akan menaikkan harga barangan yang menggunakan komoditi ini sebagai input perantaraan.

“Gangguan global dalam bekalan nikel boleh menjejaskan pengeluaran keluli tahan karat yang digunakan dalam sektor pembuatan dan pembinaan,” kata Gan.

Sementara itu, gangguan kepada bekalan paladium pula akan menjejaskan industri semikonduktor dan seterusnya pasaran barangan teknologi.

Gan juga berkata Singapura juga harus bersedia untuk kesan susulan terhadap aliran perdagangan dan pelaburan.

“Konflik yang berlanjutan akan menjejaskan keyakinan perniagaan dan membebankan ekonomi global, dan memberi kesan kepada pemulihan mereka daripada pandemik Covid-19,” katanya.

Semalam, Singapura mengumumkan akan mengenakan kawalan eksport ke atas item yang boleh digunakan secara langsung sebagai senjata di Ukraine untuk mendatangkan bahaya kepada rakyat Ukraine.

Menteri Luar Singapura Dr Vivian Balakrishnan berkata Singapura juga akan menyekat beberapa bank Rusia dan urus niaga kewangan yang berkaitan dengan Rusia.

Pada 24 Februari lepas, Presiden Rusia Vladimir Putin mengumumkan operasi ketenteraan khas di wilayah Donbas, timur Ukraine. – Bernama, 1 Mac, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen