PILIHAN Raya Negeri (PRN) Johor diadakan semata-mata melihatkan keadaan negeri dan langsung tiada kena-mengena dengan pilihan raya umum atau pilihan raya negeri lain, kata menteri besar sementara Hasni Mohammad.
“Keputusan untuk pilihan raya umum pada presiden parti atau parti. Bagi Barisan Nasional (BN) Johor, kami rasa apa yang kami buat ini hanya dari perspektif negeri,” katanya semasa diwawancara The Malaysian Insight di kediaman rasminya, kelmarin.
Hasni mengulas tanggapan bahawa PRN lebih awal di Johor diadakan sebagai landasan untuk Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
Tanggapan itu dikukuhkan apabila Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi dan pemimpin kanan Umno lain berkata PRU15 perlu diadakan tahun ini, lebih awal daripada tempoh mandat PRU14 sehingga Julai 2023.
Semalam, Timbalan Pengerusi BN Mohamad Hasan berkata gabungan itu tetap akan mendesak PRU15 disegerakan tanpa mengira keputusan di Johor.
Mohamad yang juga timbalan presiden Umno berkata, asas desakan BN bukan kerana tamak sebaliknya mahukan pentadbiran kerajaan yang stabil.
Namun Hasni akur keputusan muktamad mengenai pilihan raya umum terletak pada Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob.
“Saya percaya PM, yang juga dari Umno, tahu apa yang beliau buat walaupun ada cabaran lain.
“Saya percaya beliau akan buat keputusan yang betul apabila diperlukan. Apa pun, mengikut MoU (dengan pembangkang), pilihan tidak boleh diadakan sebelum pertengahan tahun ini.”
Hasni juga percaya Ismail Sabri seorang yang ada matlamatnya sendiri yang jelas dan beliau akan melakukan apa yang wajar.
Ismail Sabri, yang mendapat sokongan Perikatan Nasional (PN), sebelum ini berkata beliau cenderung PRU15 diadakan tahun depan walaupun beberapa pemimpin Umno lain mempunyai pandangan berbeza.
Tiada lagi beban PRU14
Hasni juga percaya pengundi Johor akan memilih kerajaan berdasarkan kepentingan negeri.
“Banyak isu yang berkisar pada hal persekutuan tetapi saya bangga yang rakyat Johor rasa apa yang lebih penting ialah hal ehwal negeri.
“Saya sangat percaya yang pengundi boleh bezakan isu persekutuan dan negeri pada pilihan raya ini,” katanya.
Pada PRU14, BN terlepas Johor kepada Pakatan Harapan (PH) selepas gandingan PKR, Amanah, DAP, dan Bersatu menang 36 daripada 56 kerusi negeri.
PH menang biarpun satu kaji selidik pada Januari 2018 menunjukkan menteri besar pada masa itu Mohamed Khaled Nordin dan pentadbirannya mempunyai populariti masing-masing 58% dan 68%.
Kaji selidik sama menunjukkan 55% rakyat Johor tidak puas hati dengan kerajaan BN pimpinan Najib Razak atas pelaksanaan cukai barangan dan perkhidmatan (GST) dan skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB).
Seperti pemimpin BN lain, Hasni yakin nasib BN berbeza pada pilihan raya kali ini kerana sejarah panjang dan prestasinya di Johor.
“Umno dan BN bukan hanya ada di Johor. Umno bermula di Johor dan bukannya di bilik mesyuarat biasa tetapi direstui oleh raja. Raja adalah sebahagian daripada pembentukan Umno.
“Sejak itu, kita tidak menoleh ke belakang dan Johor terus memimpin. Penyokong kuat kita di sini dan BN selama ini tulang belakang kerajaan dan penggerak transformasi dan agenda,” kata Hasni.
Tambahnya, walaupun BN kalah PRU14 di Johor, ia bukannya tidak lagi popular atau hilang arah.
“Saya berpeluang terlibat dalam Pemuda, di Parlimen, jadi wakil rakyat biasa, exco dan sekarang menteri besar.
“Masa saya jadi menteri besar saya boleh nampak semua perspektif dan cabaran yang berbeza dan paling penting, kekuatan yang negeri ini ada.
“Selepas beberapa pilihan raya kecil, inilah masanya untuk beritahu kepada pengundi Johor tentang keunikan kita dan itulah bezanya.
“Inilah yang perlu kita sedar dan kita tidak harus lupakannya. Kalau kita boleh kembalikan Johor ke tempatnya, kita boleh menang bersama,” kata Hasni. – 1 Mac, 2022.
Komen