Sediakan dana stabilkan harga elak kesan perang Ukraine, kata Guan Eng


Aminah Farid

Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng berkata langkah itu perlu kerana Ukraine adalah pengeluar gandum dan jagung dan mengawal kira-kira 70 peratus pasaran dunia.–Gambar fail The Malaysian Insight, 28 Februari, 2022.

BERIKUTAN perang Rusia-Ukraine, Putrajaya mesti mewujudkan dana penstabilan harga untuk mengelakkan inflasi yang akan meningkatkan lagi harga makanan dan kos perniagaan, kata Lim Guan Eng hari ini.

Setiausaha Agung DAP itu dalam satu kenyataan berkata, dana permulaan RM3 bilion boleh disediakan untuk tujuan ini dengan menggunakan jumlah penuh yang akan dikutip daripada Cukai Makmur dalam bajet 2022, cukai keuntungan luar biasa atau windfall tax yang dikenakan ke atas syarikat besar.

“Harga barangan, terutamanya makanan dan komoditi seperti minyak, jagung, kacang soya dan harga minyak sawit dan daging dijangka meningkat,” kata ahli Parlimen Bagan.

“Ukraine adalah pengeluar gandum dan jagung dan mengawal kira-kira 70 peratus pasaran dunia, dan ini adalah bahan utama dalam makanan haiwan.

“Untuk kerajaan menafikan akan berlaku sebarang kenaikan harga dan tidak mengambil apa-apa langkah pengurangan harga bukan sahaja tidak bertanggungjawab tetapi juga melepaskan tugas asas mereka sebagai kerajaan untuk menjaga rakyat.”

Beliau berkata harga jagung, gandum, kacang soya dan minyak sawit telah melonjak sejak serangan Rusia ke atas Ukraine. Tambahnya, sebahagian daripada ini adalah bahan utama yang digunakan untuk menghasilkan makanan haiwan.

Lim juga bertanya sama ada kerajaan boleh menyediakan unjuran kenaikan harga yang dijangkakan dan stok inventori semasa yang tersedia bagi barangan keperluan untuk mengelakkan peningkatan kos dalam masa 3-6 bulan.

Khamis lalu, Presiden Rusia Vladimir Putin mengumumkan operasi ketenteraan di Ukraine dan menyeru tentera di negara itu untuk meletakkan senjata, mencetuskan kemarahan Barat dan rayuan global untuk tidak melancarkan perang.

Kenyataan Putin dibuat selepas Kremlin mendakwa pemimpin pemberontak di timur Ukraine meminta bantuan ketenteraan Moscow terhadap Kyiv.

Lim juga berkata kerajaan perlu mengkaji semula kepentingan dan transaksi perniagaan dengan Rusia, berikutan sekatan kewangan dan perniagaan global yang diketuai AS ke atas itu.

Beliau berkata ini bagi mengelakkan Malaysia daripada melanggar sekatan, yang boleh menjejaskan hubungannya dengan Barat.

“Dalam bidang ketenteraan, adakah Malaysia akan mempertimbangkan semula penggunaan senjata dan peralatan sumber Rusia untuk Angkatan Tentera Malaysia (ATM), apabila berurusan dengan firma pertahanan dan aeroangkasa Rusia?” katanya.

Lim berkata inventori ATM bagi jet pejuang Rusia termasuk 18 unit Su-30MKM yang dibeli dalam perjanjian AS$900 juta (RM3.78 bilion) pada 2003, dan 18 unit MiG-29N yang telah ditamatkan perkhidmatannya dengan harga AS$600 juta (RM2.52 bilion) pada tahun 1995.

Beliau berkata senjata lain dilaporkan termasuk peluru udara-ke-udara, peluru udara-ke-darat, peluru berpandu anti kereta kebal mudah alih infantri, dan sistem pertahanan udara jarak dekat mudah alih.

Lim turut mengkritik Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob kerana tidak menyeru dan mengutuk tindakan Rusia.

“Sebaliknya, Ismail memilih untuk membenarkan perang kejam yang dikenakan ke atas Ukraine oleh Rusia dengan kenyataan lemah yang gagal menegakkan kedaulatan negara dan integriti wilayah negara merdeka yang diiktiraf oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu.

“Malaysia sepatutnya belajar daripada kedua-dua negara jiran Asean di Indonesia dan Singapura dalam mengutuk pencerobohan ganas secara terang-terangan.” – 28 Februari, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen