TERDAPAT satu pandangan bahawa serangan atau penaklukan Rusia ke atas Ukraine adalah sah memandangkan Ukraine sangat mesra Barat (baca: NATO) dan ia merupakan satu provokasi terhadap Rusia. Ukraine dikatakan membenarkan aset NATO berada di pintu Rusia, seraya menghalakan muncung senapang ke Moscow.
Oleh sebab itu, maka Rusia dikatakan memang patut melanggar Ukraine, untuk mematahkan penguasaan NATO.
Jika kita menerima hujah ini untuk menghalalkan serangan Rusia terhadap Ukraine, maka ertinya kita menerima hujah bahawa serangan Indonesia ke atas Malaysia pada tahun 1963 dan 1964 itu adalah sah.
Hal ini sedikit sebanyak ada persamaan. Tanah Melayu diduduki sekian lama oleh kuasa Inggeris dan pada 8 Februari 1956, British merelakan kemerdekaan untuk Malaysia.
Ketika itu sudah ada usaha-usaha untuk membentuk Persekutuan, yang ikut dianggotai oleh Singapura, Sarawak, Brunei, dan Sabah.
Perancangan ini bagaimanapun dilihat dengan penuh curiga oleh Soekarno. Ini kerana tokoh besar Indonesia itu menganggap pembentukan Malaysia adalah satu projek neokolonialisme British.
Kekhuatiran Soekarno adalah Malaya ketika itu akan menjadi pangkalan militer Barat di Asia Tenggara.
Argumen Soekarno ialah, ini boleh menggugat kestabilan Asia Tenggara. Dalam erti kata lain, Malaya adalah satu projek penguasaan British-Amerika Syarikat.
Selain Indonesia, Filipina juga menentang penubuhan Malaysia. Ini kerana Filipina menganggap Sabah adalah bahagian dari Kesultanan Sulu yang disewakan kepada British, justeru Sabah adalah milik Filipina secara sejarahnya.
Ini membuatkan Indonesia dan Filipina tidak bersetuju dengan penubuhan Malaysia.
Pada 9 Julai 1963, perjanjian pembentukan Malaysia ditandatangani oleh Tunku Abdul Rahman dan negara Malaysia terbentuk kemudiannya, iaitu pada 16 September 1963.
Ini mendorong kemarahan Indonesia dan republik itu memutuskan hubungan diplomatik dengan Malaysia. Kempen ‘Ganyang Malaysia’ merecik dan membahang.
Di Kuala Lumpur, provokasi juga panas apabila foto Soekarno dibakar. Ini membawa kepada Konfrontasi Malaysia-Indonesia pada 20 Januari 1964, apabila Menteri Luar Negeri Indonesia, Soebandrio mengumumkan yang Indonesia mengambil sikap bermusuhan terhadap Malaysia.
Keadaan berbahang ini membawa kepada serangan Indonesia di perbatasan Malaysia, ekoran dari rapat besar bertarikh 3 Mei 1964 di Jakarta.
Presiden Soekarno mengumumkan perintah Dwi Komando Rakyat (Dwikora) yang isinya antara lain: Indonesia membantu perjuangan revolusioner rakyat Malaya, Singapura, Sarawak dan Sabah, untuk menghancurkan Malaysia.
Juga menggasak Malaysia di sempadan Kalimantan, di Selat Malaka yang berbatasan dengan Johor (tentera Indonesia misalnya mendarat di Labis), dan membawa kepada keputusan Soekarno untuk membawa keluar Indonesia dari Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu pada 20 Januari 1965.
Indonesia berusaha membentuk Konferensi Kekuatan Baru (Conference of New Emerging Forces, Conefo) sebagai alternatif.
Akan tetapi kita tahu serangan Indonesia itu tidak sah. Kita juga tahu penubuhan negara Malaysia adalah pilihan rakyat Malaysia sendiri, dan hujah ia sebagai satu neo kolonialisme British adalah tidak benar.
Demikianlah juga penubuhan Ukraine pada 24 Ogos 1991 adalah satu kemerdekaan dan merupakan satu pilihan untuk memiliki kedaulatan negara itu. Bahkan pilihan untuk memesrai Barat atau NATO adalah merupakan haknya sendiri.
Rusia tidak boleh menggunakan hujah Ukraine akrab NATO untuk menyerang negara tersebut.
Seperti mana Indonesia tidak terpakai menggunakan argumen Malaysia adalah ekspansi empayar British dalam bentuk baru untuk berkonfrontasi dengan negara ini.
Kita semua tahu Singapura mesra Israel dan Amerika Syarikat. Filipina juga demikian kerana Amerika Syarikat ada sejarah yang panjang dengan negara tersebut.
Bahkan satu ketika dahulu terdapat pangkalan tentera Amerika di Filipina.
Ini tidak bermakna Malaysia dan Indonesia boleh menjadikan alasan tersebut untuk melanyak Singapura, atau Filipina. Mentang-mentang Singapura katakan sebuah negara kecil.
Jika hujah ini diterima kita sedang menghalalkan argumen China untuk mengganyang Taiwan.
Ia juga menghalalkan hujah untuk China membesarkan pengaruhnya di Asia Tenggara, di Malaysia katakan, mengatasi Forest City, di Johor.
Dalam lima puluh tahun lagi, China akan berhujah Taiwan milik sejarahnya maka China boleh menyerang Taipeh.
Atau bila Johor kelak membenarkan ramai rakyat China menetap di Forest City dan Danga Bay maka bolehkah China memperakukan Johor milik China?
Perang di mana pun tidak wajar disokong. Serangan Arab Saudi terhadap Yemen adalah salah dan satu jenayah.
Serangan Iraq terhadap Kuwait adalah salah dan satu jenayah. Serangan Israel terhadap Palestina, Lubnan dan Syria adalah salah dan satu jenayah.
Serangan Amerika Syarikat terhadap Iraq adalah salah dan satu jenayah. Serangan USSR terhadap Afghanistan adalah salah dan satu jenayah.
Serangan Amerika Syarikat terhadap Somalia adalah salah dan satu jenayah.
Serangan Rusia terhadap Georgia adalah salah dan satu jenayah. Serangan Amerika Syarikat terhadap Vietnam adalah salah dan satu jenayah.
Serangan China terhadap Tibet, dan Xinjiang, adalah salah dan satu jenayah.
Serangan Rusia terhadap Chechnya adalah salah dan satu jenayah. Serangan Serbia dan Crotia terhadap Bosnia adalah salah dan satu jenayah. Serangan Rusia terhadap Ukraine adalah salah dan satu jenayah.
Jika pun Ukraine pernah terlibat dalam perang Teluk dengan berada di Iraq, ia tidak melayakkan Ukraine untuk dilanyak oleh Rusia.
Perbuatan Ukraine itu tidak membolehkan kita bersama-sama dengan Rusia untuk menceroboh negara itu, dan melancarkan perang terhadap negara tersebut.
Jika pun Ukraine berteriak-teriak ingin menjadi sebahagian dari Kesatuan Eropah atau NATO, Rusia harus menghormatinya.
Seperti mana kita pernah meminta Indonesia menghormati hak rakyat kita untuk memilih penubuhan Malaysia.
Hal ini harus jelas kepada kita supaya kita tidak menjadi ‘war apologist’ iaitu seseorang yang mengabsah dan menghalalkan perang. Tidak ada bezanya antara kita dengan pedagang senjata jika begitu.
Sebenarnya, jika Iran atau Turki memilih untuk meninggalkan Rusia dalam hal ini, dan berpihak kepada Ukraine (ini tidak bermaksud mereka berpihak kepada Barat) ia akan menjadi satu ‘game-changer’ yang hebat.
Ini juga membuktikan Iran tidak perlu bergantung kepada Rusia dan benar-benar sebuah ‘super power.’
Ia juga membuktikan Iran dan Turki bersama-sama mereka yang tertindas secara ‘genuine’ dan bukan sekadar retorika.
Jika itu berlaku, sikap Iran dan Turki sebagai kuasa negara Islam akan mencerahkan hubungan peradaban tradisi Islam dan Judeo-Kristian secara sejagat.
Akan tetapi Iran dan Turki juga bersempadankan Rusia dan mempunyai agenda serta kepentingan sendiri.
Agenda mereka itu, seperti mana Ukraine juga mempunyai agenda, dan hak untuk merdeka dan merapatkan diri dengan NATO sebagai satu usahanya menyelamatkan diri daripada tekanan Rusia.
Jika kita betul-betul beriman dan memahami sejarah para Nabi, dan ahlul bait; kita tidak akan bersama dengan penggasak dan pengganas seperti Rusia.
Tidak bersama-sama Rusia bukan bermaksud kita bersama Amerika Syarikat dan Barat.
Kita mesti menolak semua jenis imperialisme. Apa yang dilakukan oleh Rusia terhadap Ukraine adalah satu bentuk penjajahan yang dahsyat. Kita tidak boleh menyokongnya.
Haram kita menyokongnya. Kita tidak boleh melihat sahaja pengganyangan itu terjadi. – 28 Februari, 2022.
* Mohd Faizal Musa atau Faisal Tehrani bertugas sebagai felo di Institut Alam dan Tamadun Melayu (UKM), Felo Pelawat di ISEAS-Yusuf Ishak dan Bersekutu untuk sebuah projek di bawah Weatherhead Center, Universiti Harvard. Faisal menulis mengenai pelbagai perkara yang menjadi minat beliau.
* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.
Komen