JUMLAH kes Covid-19 menyebabkan pekerja berasa tidak selesa untuk pergi ke pejabat tetapi kumpulan majikan memberi amaran ini boleh mendatangkan ketidakcekapan, merosakkan hubungan kerja dan melemahkan semangat pekerja jika tidak disusun serta dipantau dengan betul.
Persekutuan Majikan Malaysia berkata tahap produktiviti pekerja yang bekerja dari rumah secara amnya lebih rendah berbanding berada di pejabat.
Tetapi pekerja memberitahu The Malaysian Insight mereka lebih suka bekerja dari rumah ketika ini sehingga jumlah kes Covid-19 menurun.
Kenny Raj, 34, berkata dia berasa tidak selamat pergi ke pejabat setiap hari kerana jumlah kes Covid-19 mencecah 30,000.
“Di pejabat ada pekerja yang tidak memakai topeng muka dan ini boleh menyebabkan kes merebak.
“Paling teruk ketika waktu rehat makan tengah hari kerana tiada penjarakan sosial dan tiada sesiapa yang memakai topeng muka di pantri,” katanya yang berada dalam industri pemasaran.
Katanya majikan harus memahami kebimbangan pekerja yang terpaksa datang ke pejabat setiap hari.
“Kebanyakan daripada kita mempunyai keluarga yang sama ada warga tua atau kanak-kanak jadi jika kita dijangkiti ia boleh mendatangkan risiko kepada mereka,” katanya.
Seorang lagi pekerja yang mahu dikenali sebagai Jeff berkata kerajaan perlu memaksa syarikat melaksanakan budaya kerja dari rumah dan bukannya hanya menasihati mereka.
Jeff berkata jumlah kes Covid-19 hanya akan terus meningkat jika kerja dari rumah tidak dilaksanakan.
“Dengan melihat bagaimana Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor akan diadakan kes pasti akan meningkat.
“Sesetengah rakan sekerja saya juga akan pulang ke Johor untuk mengundi di kawasan mereka jadi saya bimbang mereka mungkin membawa virus itu ke sini,” katanya yang berada dalam industri pengiklanan.

Sementara itu Sandra Teoh, 29, berkata dia tidak mempunyai masalah untuk pergi ke pejabat tetapi kebimbangannya hanya keluarga di rumah.
“Ibu saya berusia 63 tahun dan menghidap asma jadi dia adalah kebimbangan terbesar saya setiap kali pulang dari kerja.
“Kadang-kadang saya mempertimbangkan untuk tinggal sendiri tetapi mendapatkan tempat tinggal di Kuala Lumpur bukanlah murah.
“Kami sudah menyampaikan hasrat kerja dari rumah kepada pihak pengurusan tetapi tiada keputusan dibuat walaupun sudah dua minggu,” katanya.
Pengangkutan awam
Sementara itu Muhd Firman, 24, yang dalam perjalanan ke tempat kerja menaiki Transit Kereta Api Ringan (LRT) berkata pengangkutan awam itu sentiasa sesak dan dia bimbang akan dijangkiti virus berkenaan.
“Saya tidak mempunyai kereta jadi pengangkutan awam adalah satu-satunya cara saya berulang-alik ke tempat kerja.
“Perjalanan satu jam itu adalah yang paling menakutkan kerana pada waktu pagi LRT sesak dengan orang ramai di mana kita hampir tidak mempunyai ruang untuk bergerak,” katanya.
Firman yang bekerja sebagai akauntan berkata skop tugasnya membolehkannya bekerja dari rumah.
“Apa yang saya perlukan ialah komputer riba jadi saya tidak faham kenapa saya perlu pergi ke pejabat.
“Saya harap kerajaan akan memaksa majikan melaksanakan kerja dari rumah kerana jika mereka hanya berkata ia sebagai nasihat, tidak ada majikan akan mengikutnya,” katanya.
Seorang lagi pekerja Sarah Nabila, 25, yang pergi ke tempat kerja menggunakan pengangkutan awam turut bersetuju dengan Firman berkata kereta api sentiasa sesak ketika hendak ke tempat kerja dan pulang ke rumah.
“Perjalanan saya dari Subang ke Bangsar adalah kira-kira 40 minit sehala dan walaupun tempohnya singkat saya masih tidak selamat melihat ramai orang di dalam kereta api.
“Saya masih ingat tahun lalu apabila mereka tidak membenarkan kapasiti 100% dalam kereta api dan ia membuatkan saya berasa lebih selamat untuk pergi bekerja tetapi ia tidak sama ketika ini,” katanya yang merupakan seorang pereka grafik.
“Kadang-kadang saya rasa majikan kita tidak mengambil berat tentang pekerja. Lebih 30,000 kes sehari bukan gurauan dan pada kadar ini nampaknya sesiapa sahaja boleh dijangkiti virus itu,” katanya.

Sementara itu Presiden MEF Dr Syed Hussain Syed Husman berkata Laporan Tinjauan Nadi Pekerja Wabak Covid-19 Malaysia menyatakan 77% pekerja menunjukkan penurunan tahap produktiviti mereka apabila bekerja dari rumah dan hanya 23% pekerja dapat mengekalkan tahap produktiviti yang sama atau tahap produktiviti yang lebih tinggi.
Beliau berkata tidak semua tugas pekerja boleh dilakukan dari jauh jadi pihak pengurusan perlu membuat pengaturan kerja untuk pekerja ini melalui syif dan waktu bekerja berperingkat.
“Pasukan yang bekerja dari rumah mungkin berdepan cabaran seperti kurang penjelasan dan ketidakpastian mengenai pelaporan berkenaan isu tertentu yang membawa kepada kelewatan.
“Juga tidak semua pekerja mempunyai alat dan peralatan yang diperlukan untuk bekerja dari rumah,” katanya.
Menurutnya hanya beberapa syarikat menyediakan tuntutan penggunakan intenert kepada pekerja tertentu bagi memudahkan kerja mereka.
Kementerian Kesihatan semalam melaporkan 27,299 jangkitan baharu Covid-19.
Negara ini melaporkan jumlah kes harian tinggi pada minggu lalu disebabkan oleh varian Omicron yang mudah berjangkit.
Jumlah kematian akibat Covid-19 juga terus meningkat dengan 43 kematian dilaporkan semalam. – 28 Februari, 2022.
Komen