PUTRAJAYA perlu membuka sempadan Malaysia-Singapura dengan menggunakan kaedah “saring dan lepas” kerana kebanyakan individu dari kedua-dua negara sudah mendapat vaksin lengkap, kata DAP Johor.
Dalam sidang media, Ketua DAP negeri Liew Chin Tong menjelaskan kaedah itu adalah cara praktikal dan dilaksanakan di banyak negara luar dengan kadar vaksinasi yang tinggi.
Di bawah kaedah itu, pengembara hanya perlu melakukan ujian pantas semasa ketibaan untuk menunjukkan individu berkenaan bebas Covid-19.
“Sempadan Malaysia-Singapura perlu dibuka sepenuhnya secepat mungkin menggunakan kaedah saring dan lepas. Penduduk kita serta Singapura disuntik sepenuhnya dan sudah masuk fasa vaksin penggalak.”
“Walaupun masih diancam virus Omicron, sistem kesihatan negara masih boleh menangani kesannya dan kebanyakan kes positif adalah asimtomatik atau simptom ringan yang tidak mengancam nyawa,” kata bekas timbalan menteri pertahanan itu.
Bagaimanapun tambahnya, kerajaan negeri Johor perlu mengetuai “pasukan petugas khas” yang membantu memberi pandangan dan kaedah pelaksanaan berhubung pembukaan sempadan dengan faktor setempat diambil kira.
“Putrajaya perlu menggunakan strategi yang betul berhubung kawalan rentas sempadan dalam era pasca Covid-19. Risiko penularan wabak dan faktor ekonomi serta sosial perlu difikirkan bersama,” katanya.
Baru-baru ini, Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin berkata Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob akan mengumumkan tarikh pembukaan semula sempadan negara tidak lama lagi.
“Kami sudah ada tarikh, dan menyerahkan kepada beliau untuk mengumumkannya tidak lama lagi,” kata Khairy pada sidang media minggu lepas.
Bercakap lanjut, Liew berkata jika pembukaan penuh tidak dapat dilaksanakan, laluan perjalanan vaksinasi (VTL) semasa mesti diperluaskan.
Bagi memperluaskan laluan itu, Liew berkata lebih banyak syarikat bas Malaysia atau Singapura perlu dibenarkan menyertai laluan VTL.
“Bilangan tiket VTL untuk perjalanan udara dan darat perlu ditambah bagi menampung keperluan yang lebih tinggi.”
“Lebih banyak tiket penerbangan VTL (KLIA/Changi, Changi/KLIA) juga boleh membantu dalam mengawal harga tiket penerbangan VTL.”
“VTL tanah harus diperluaskan kepada kereta dan motosikal persendirian. Jika dibandingkan dengan bas, sebenarnya risiko jangkitan pada kenderaan persendirian dan motosikal lebih rendah berbanding bas,” tegasnya.
Pada 21 Januari, Malaysia dan Singapura membenarkan sambungan semula jualan tiket untuk VTL darat dan udara, tetapi dengan pengurangan 50% daripada sebelumnya.
Kuota VTL darat ialah 1,440 tiket sehari untuk setiap perjalanan, manakala VTL udara dihadkan kepada enam penerbangan harian.
Sidang media bersama hari ini turut dihadiri calon pilihan raya DAP Johor yang lain; Andrew Chen (Stulang), Liow Cai Tung (Johor Jaya), Marina Ibrahim (Skudai) dan calon Muda, Amira Aisya Abd Aziz (Puteri Wangsa). – 27 Februari, 2022.
Berita penuh di sini
Komen