KESTABILAN politik dan pertumbuhan ekonomi akan menjadi isu yang akan diperjuangkan parti bertanding sepanjang kempen Pilihan Raya Negeri Johor, menurut pemerhati.
Sejak 2020, dua isu ini tidak ditangani dengan baik oleh kerajaan, kata mereka lagi.
Bagaimanapun, tambah mereka, isu korupsi dan ketelusan terus akan membebani kempen Barisan Nasional di Johor sementelah Najib Razak dan Ahmad Zahid Hamidi masih menerajui Umno.
Pengerusi Perikatan Nasional Muhyiddin Yassin dan Pengerusi Pejuang Dr Mahathir Mohamad berulang kali secara terbuka terus mengecam Najib dan meminta pengundi Johor menolak pemimpin korup.
Kempen Barisan Nasional pula berulang kali mengingatkan rakyat Johor tentang kepentingan menyokong parti politik yang mampu menerajui kepimpinan negeri, memastikan kestabilan politik dan membawa kesejahteraan ekonomi dengan mengambil contoh sepanjang 60 tahun mereka mentadbir sebelum tumbang pada Pilihan Raya Umum 2018.
Pakatan Harapan pula dijangka membawa agenda reformasi serta tadbir urus baik yang menurut mereka akan menjamin kestabilan pentadbiran dan kemakmuran ekonomi.
Dr Mazlan Ali dari Universiti Teknologi Malaysia (UTM) berkata walaupun korupsi dan kestabilan terus kekal menjadi modal pilihan raya banyak parti, mungkin ada juga parti yang memainkan isu keagamaan.
Beliau merujuk kes mahkamah terbaru berkaitan seorang ibu tunggal yang diberikan hak penjagaan tiga anaknya yang diislamkan tanpa izinnya.
“Ekonomi dan kestabilan akan jadi isu utama bagi hampir semua parti bertanding. Terutama ketika ini bila mana ekonomi tidak mampu bertumbuh disebabkan pandemik dan kestabilan (bermasalah) selepas beberapa siri politik tikam belakang.
“Semua orang akan bercakap tentangnya tetapi saya fikir kita juga akan dengar isu tukar agama anak tanpa izin yang sudah jadi isu besar lebih seminggu lepas.
“PAS dan Umno mungkin menggunakannya untuk menunjukkan keperluan mempunyai kerajaan dominan Melayu Islam, yang menurut mereka dapat memastikan orang Melayu terbela,” kata ahli akademik itu.

Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur baru-baru, dalam kes ibu tunggal Loh Siew Hong, memberikan hak penjagaan tunggal tiga anaknya yang diislamkan tanpa izin Loh.
Loh dipisahkan daripada tiga anaknya- kembar perempuan berusia 14 tahun dan anak lelaki berusia 10 tahun- sejak 2019 ketika beliau sedang menerima rawatan di hospital yang didakwanya disebabkan dipukul bekas suaminya Naghaswaran Muniandy.
Pada Julai 2020, Nagahswaran mengislamkan tiga anak mereka itu dan Loh tidak lagi dapat mengesan lokasi mereka, diburukkan lagi dengan sekatan pergerakan dikenakan ke seluruh negara disebabkan Covid-19.
Nagashwaran kini sedang menjalani hukuman penjara di Kelantan kerana kesalahan berkaitan dadah.
Bagaimanapun, Prof Dr Awang Azman Awang Pawi dari Universiti Malaya tidak bersetuju dengan pandangan ini, berkata isu ini terlalu sensitif untuk digunakan di Johor.
Beliau bersetuju yang isu seperti kewangan, kesejahteraan dan kemakmuran akan menjadi fokus utama parti bertanding.
“Parti bertanding tahu yang Sultan Johor tidak suka isu agama digunakan dalam politik, saya percaya mereka tak akan guna ketika kempen pilihan raya.
“Ya, ekonomi dan kestabilan akan dibincangkan semua orang. Terutama selepas mereka keluarkan manifesto mereka,” tambahnya.
Proses pencalonan calon PRN Johor untuk semua 56 DUN berjalan lancar semalam.
BN, PN dan PH bersama rakan strategik mereka Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda), Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang), Parti Warisan (Warisan), Parti Bangsa Malaysia (PBM) dan Parti Sosialis Malaysia (PSM) menghantar calon untuk bertanding.
SPR menetapkan hari mengundi pada 12 Mac dan pengundian awal pada 8 Mac depan.
Jumlah pengundi berdaftar di Johor adalah 2,597,742 orang. – 27 Februari, 2022.
Komen