WISMA Putra enggan mengulas mengenai laporan diplomat Malaysia terpaksa melarikan diri dari Kyiv ke Poland melalui jalan darat ketika serangan semakin meningkat di Ukraine.
“Terima kasih atas pertanyaan anda. Tiada komen buat masa ini. Terima kasih,” kata seorang pegawai Kementerian Luar ketika dihubungi.
Lapan diplomat Malaysia dan dua warga asing dilaporkan melarikan diri dari Ukraine melalui jalan darat selepas rancangan awal mereka untuk menyewa bas tidak berjaya.
Menurut South China Morning Post (SCMP) usaha kumpulan itu untuk keluar melalui bas terhalang disebabkan trafik yang sesak.
Mereka kemudian memutuskan untuk melakukan perjalanan sejauh 782km dalam konvoi empat buah kereta dan dijangka mengambil masa kira-kira 10 jam ke Lviv.
Awal hari ini Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob berkata Malaysia sangat bimbang dengan konflik pencerobohan Rusia ke atas Ukraine dan menggesa semua pihak berunding untuk mencari penyelesaian aman.
“Malaysia sangat bimbang dengan perkembangan terkini di Ukraine dan dengan tegas menggesa semua pihak berkaitan serta merta bertindak untuk mengurangkan ketegangan dan mengelak kehilangan nyawa dan kemusnahan (harta benda).
“Pada saat getir ini, semua usaha perlu digandakan bagi mencari penyelesaian konflik secara aman dan bersama menerusi dialog dan rundingan berdasarkan undang-undang antarabangsa dan Piagam Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Tambahnya, Malaysia akan terus menyokong usaha tersebut demi kepentingan dan mengekalkan keamanan dan sekuriti pada peringkat rantau dan antarabangsa.
SCMP melaporkan Kedutaan Besar Malaysia di Kyiv Chargé d’Affaires Fadhilah Daud membuat panggilan untuk meneruskan pelan alternatif selepas beberapa sumber rasmi berkata Kementerian Luar mengelirukan pemindahan mereka.
Sumber itu menyalahkan pegawai kanan kerajaan termasuk perdana menteri dan menteri luar negeri kerana sikap meremehkan perisikan Barat pada Januari berhubung pencerobohan Rusia.
“Pegawai itu menyifatkan risikan itu sebagai ‘naratif barat’ menyebabkan misi pemindahan itu menjadi ‘cluster f***’,” kata sumber seperti yang dipetik SCMP.
“Keadaan ini antaranya akibat seorang menteri yang sangat terdesak untuk tidak terpengaruh dengan naratif Barat, dia mula percaya perkara karut yang dijaja oleh pihak lain,” kata sumber kepada SCMP.
Seramai 13 rakyat Malaysia sudah meninggalkan Ukraine dalam beberapa minggu kebelakangan ini. – 26 Februari, 2022.
Komen