Pertempuran hebat bermula di Johor hari ini


Chan Kok Leong

PRN Johor penuh dengan lambakan calon dengan pertandingan banyak penjuru di hampir setiap 56 kerusi DUN yang dipertandingkan. – Gambar fail The Malaysian Insight, 26 Februari, 2022.

SELEPAS tiga pilihan raya negeri (PRN) diadakan sejak pilihan raya umum (PRU) pada 2018, apa yang jelas ialah tiada lagi pemerintahan parti tunggal di Malaysia, berakhir sudah perlawanan satu lawan satu dalam pilihan raya.

PRN Johor penuh dengan lambakan calon menjadi peringatan ketara, dan apa yang akan berlaku dalam tempoh dua minggu akan datang bakal mencorakkan PRU15.

Selain statusnya dan menjadi negeri kedua paling membangun dan ramai penduduk selepas Selangor, komposisi etnik dan geografi Johor mencerminkan Semenanjung.

Menurut Banci 2010, Johor mempunyai 3.35 juta penduduk (dikemas kini 3.77 juta pada 2016) dan berada di tempat ketujuh daripada segi urbanisasi iaitu pada 71.9% selepas Lembah Klang, Pulau Pinang dan Melaka.

Daripada segi demografi, negeri itu mempunyai 52% Melayu, 30% Cina dan 6% India, dan sangat mirip dengan statistic negarai 2021 iaitu 57.3% Melayu, 22.9% Cina dan 6.6% India.

Ini bakal menjadi PRN pertama yang menjadi medan pertembungan tiga gabungan utama saling berlawan: Barisan Nasional (BN), Perikatan Nasional (PN) dan Pakatan Harapan (PH).

Lebih menarik, BN dan PN adalah rakan kerjasama di peringkat persekutuan dan tiga negeri lain: Kedah, Perak dan Sabah.

Parti lain turut serta ialah parti baharu seperti Pejuang, Muda, Parti Bangsa Malaysia (PBM) dan Warisan Sabah, menjadikan PRN Johor pada 12 Mac nanti penuh dengan calon dan pertembungan banyak penjuru di hampir setiap 56 kerusi DUN dipertandingkan.

Menjelang proses penamaan calon yang akan berlangsung hari ini, beginilah rupa medan perang PRN Johor:

BN, PN dan PH

Tiga gabungan utama ini sudah mengumumkan calon mereka untuk PRN Johor pada minggu lalu.

BN mengumumkan nama 56 kerusi, PN umum 56 nama dan PH mendedahkan nama 50 calon.

Bagi PH, PKR akan meletakkan 20 calon, sementara Amanah dan DAP masing-masing 16 dan 14 calon. Dua parti itu memutuskan tidak bertanding di empat dan dua kerusi masing-masing, bagi memberi laluan kepada parti baharu Muda.

Bagi PN, Bersatu akan bertanding 33 kerusi diikuti PAS dan Gerakan masing-masing meletakkan 15 dan lapan calon.

Perhatian pada PRN Johor ini tentunya diberikan kepada empat parti baharu iaitu Muda, Pejuang, Parti Bangsa Malaysia dan Parti Warisan Sabah. – Gambar fail The Malaysian Insight, 26 Februari, 2022.

Parti baharu

Sementara fokus mungkin pada gabungan lebih besar, perhatian tentunya diberikan kepada empat parti baharu: Muda, Pejuang, Parti Bangsa Malaysia dan Parti Warisan Sabah.

Ini kali pertama Muda (tujuh kerusi) dan PBM (empat) bertanding dalam pilihan raya selepas pendaftaran mereka sebagai parti politik diluluskan.

Bagi parti berpangkalan di Sabah, Warisan yang dilancarkan di semenanjung pada Disember lalu, PRN Johor menjadi titik permulaan untuknya bertanding merentasi Laut China Selatan, dengan enam kerusi menjadi taruhan.

Bagi Pejuang, Johor akan menjadi kempen terbesar parti Dr Mahathir Mohamad itu, setakat ini dengan bertanding 42 kerusi, sejak kali pertama meletakkan calon pada PRN Slim 2020.

Pertukaran calon dan strategi

Separuh daripada 28 kerusi untuk direbut – 16 daripada PH, sembilan BN dan tiga PN – akan dipertahankan oleh penyandang, memberi isyarat kebimbangan parti tentang kekuatan calon mereka dalam perlawanan banyak penjuru.

Empat lagi Adun akan bertanding di kerusi berbeza.

Dua daripadanya daripada Bersatu: : Solihan Badri (sebelum ini Tenang) akan beralih ke kerusi presiden parti Muhyiddin Yassin iaitu di Bukit Gambir sementara Chong Fatt Full (Pemanis) akan beralih ke Tangkak.

Chong antara wakil rakyat PKR yang keluar parti dan menyertai Bersatu ketika Langkah Sheraton dilaksanakan pada 2020.

Bagi BN pula, bintang baharu Umno Onn Hafiz Ghazi akan beralih ke Machap selepas PKR mengumumkan ia meletakkan bekas menteri pendidikan Maszlee Malik di Layang-Layang.

PH juga akan menyaksikan pertukaran apabila PKR memutuskan menukar Adun Senggarang Khairuddin Rahim ke Rengit.

Kerusi panas dan calon muda

Semua mata akan tertumpu di Benut, di mana penyandang dan menteri besar Hasni Mohamad akan bertanding atas tiket BN, dan menyasarkan untuk mempertahankan kerusinya itu bagi penggal keempat.

Walaupun Hasni menang mudah pada 2018 dengan majoriti 4,447 undi, beliau kali ini akan melawan calon PN, Isa Abd Hamid yang kali ini akan mendapat sokongan Bersatu dan PAS.

Pada PRU 2018, Bersatu dan PAS bermusuhan, tetapi kini gabungan undi mereka akan menipiskan jurang untuk Hasni.

Selain Hasni, tumpuan pastinya kepada empat ahli Parlimen Johor yang mencari kerusi dalam DUN.

Antaranya ialah Maszlee (PKR) yang juga ahli Parlimen Simpang Renggam yang akan bertanding di Layang-layang dan bekas menteri pertanian Salahuddin Ayub (Amanah), akan mempertahankan Simpang Jeram.

Dua lagi wakil rakyat persekutuan ialah Ahli Parlimen Sri Gading dan bekas timbalan menteri minister Shahruddin Md Salleh (Pejuang) yang bakal merebut kerusi Machap dan Ahli Parlimen Tebrau Steven Choong dari PBM mengintai kerusi Puteri Wangsa.

Kerusi lain yang menarik ialah Perling di mana Pengerusi DAP Johor Liew Chin Tong akan bertanding kerusi DUN buat pertama kali dalam sepanjang kerjaya politiknya.

Liew yang juga bekas timbalan menteri pertahanan, pernah menjadi ahli Parlimen Bukit Bendera dan kemudiannya ke Kluang.

Pencapaian calon Muda juga perlu dilihat, termasuk peguam-aktivis Lim Wei Jiet di Tenang, dan setiausaha agung Muda Amira Aisya Abd Aziz di Puteri Wangsa.

Muda dan Pejuang turut mendedahkan umur semua calon mereka. Daripada maklumat yang ada, purata umur calon Pejuang ialah 49 sementara Muda ialah 26 tahun.

Undi pengundi muda amat penting pada PRN Johor, kerana ini julung kali individu berusia 18 tahun ke atas akan dapat membuang undi mereka selepas pindaan terhadap Perlembagaan Persekutuan baru-baru ini. – 26 Februari, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen