Putrajaya perlu jelaskan pendirian terhadap pencerobohan Ukraine, kata duta


Duta Ukraine Olexander Nechytaylo dalam satu temu bual di radio hari ini berkata pihaknya harap Malaysia tunjuk pendirian lebih jelas berkenaan pencerobohan Russia. – Gambar Twitter, 25 Februari, 2022.

UKRAINE mengharapkan sokongan lebih kuat daripada Malaysia terhadap pencerobohan Russia, kata duta negara itu Olexander Nechytaylo dalam satu temu bual di radio hari ini.

Bercakap kepada BFM 89.9 pagi ini, Nechytaylo berkata beliau maklum berkenaan kenyataan Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob ketika permulaan perang Russia terhadap Ukraine semalam, dan berharap negara ini dapat menunjukkan pendirian lebih jelas.

“Kami percaya masih ada ruang untuk kedudukan lebih jelas dalam undang-undang antarabangsa dan kesucian piagam Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu.

“Kami perlu jelas siapa penceroboh, siapa penjenayah,” katanya kepada BFM.

Nechytaylo berkata demikian ketika ditanya tentang respons masyarakat antarabangsa dan apa yang Ukraine harapkan.

Beliau berkata negara lain perlu memberikan pendirian tegas terhadap pencerobohan itu kerana ia bukan saja berkenaan keganasan Russia, tetapi ia berkaitan dengan kesucian keamanan antarabangsa, paradigma keseluruhan keamanan untuk hidup bersama.

“Setiap ahli masyarakat antarabangsa perlu bimbang,” katanya, dan turut menggesa semua negara menghentikan hubungan perdagangan dengan Russia dan memutuskannya daripada sistem perbankan antarabangsa.

Ismail Sabri dan Wisma Putra semalam menzahirkan “kesedihan berhubung perkembangan di Ukraine” dan berkata fokus Malaysia ialah keselamatan rakyat Malaysia di sana.

Tidak disebutkan tentang tindakan Russia atau pun kutukan terhadap serangan yang dilakukan terhadap Ukraine.

Kedutaan Malaysia di Kiev sedang bersiap sedia untuk membawa pulang 11 rakyat Malaysia. – 25 Februari, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen