Perang menentang korupsi akan diteruskan, janji Dzulkifli


Muzliza Mustafa

SPRM membongkar banyak kes berprofil tinggi kebelakangan ini dan ketuanya menjadi tokoh paling digeruni semua pihak. – Gambar fail The Malaysian Insight, 24 April, 2017.

KETUA Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Dzulkifli Ahmad tidak bergurau apabila dia memberi amaran kepada pegawai yang korup, “Awak tunggu”.

Sempena 100 hari dia memegang jawatan itu, Dzulkifli muncul di kaca telivision nasional berikrar akan meneruskan tindakan menentang “individu yang dilindungi” yang mengamalkan korupsi sistematik.

Dia menunaikan ikrar itu, sekiranya dilihat dalam jumlah orang ternama dan berjawatan tinggi yang ditahan sejak dia memikul tanggungjawab sebagai ketua suruhanjaya pencegahan korupsi negara itu.

Tetapi ketua SPRM masih belum habis bertindak. Tidak dalam masa terdekat. Dia membuat satu lagi janji hari ini untuk meneruskan perjuangan memerangi korupsi selagi mana dia berkuasa.

“Ini hanya tahun pertama. Saya masih ada lagi beberapa tahun,” katanya kepada media di Kuala Lumpur hari ini.

Dzulkifli menggantikan bekas ketua SPRM Abu Kassim pada Julai tahun lepas. Dalam masa 10 bulan dia menerajui agensi itu, dia menjadi seorang tokoh paling digeruni semua pihak di semua sektor, samada penjawat awam, anggota keselamatan, di pejabat kerajaan mahupun sektor korporat.

Antara tangkapan berprofil tinggi yang berlaku di bawah seliannya ialah bekas pegawai khas kepada datuk bandar Melaka atas tuduhan pengubahan wang haram; pegawai Pusat Zakat Pulau Pinang atas dakwaan salah guna dana zakat; dan penahanan seorang “Tan Sri” yang merupakan seorang kontraktor dilantik Jabatan Perparitan dan Saliran kerana membuat tuntutan palsu.

Terbaru, SPRM memburu dan menangkap anggota polis korup di Melaka atas dakwaan menjalankan sistem perlindungan kepada sindiket maksiat haram di negeri itu. Sehingga kini, enam polis sudah ditahan, dan lebih banyak tangkapan akan dibuat.

Penahanan yang paling disebut-sebut melibatkan bekas Ketua Setiausaha Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah Mohd Arif Ab Rahman dan anak lelakinya Januari lepas. SPRM juga merampas jutaan wang tunai, blok emas serta jam dan bag tangan mewah dari rumah mereka, selain aset seperti kereta dan plot tanah di Lembah Klang.

Bagi mereka yang menuduh SPRM takut bertindak kepada ahli politik yang korup, Dzulkifli berkata: “Sabar”.

“Hanya menunggu masa. Saya tak pernah langgar janji saya. Bila saya cakap saya akan bertindak, saya akan buat.

“Kita buat satu demi satu. Ia ambil masa.” – 24 Mei, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen