PIHAK berkuasa kesihatan Kanada semalam meluluskan vaksin Covid-19 domestik pertama, umum firma biofarmaseutikal yang berpangkalan di Bandaraya Quebec Medicago dan rakan kongsinya GlaxoSmithKline.
Ini dibuat selepas lebih 90% penduduk dewasa Kanada menerima dua suntikan vaksin tetapi kira-kira separuh daripada populasi masih belum mendapat suntikan penggalak.
Menyebut kelulusan pihak berkuasa kesihatan Kanada terhadap vaksin Covifenz sebagai “pencapaian penting bagi Kanada dalam memerangi wabak itu”, ketua eksekutif Medicago Takashi Nagao berkata syarikat itu sudah mengeluarkan dos untuk memenuhi tempahannya.
Ottawa sudah membuat prapesan sehingga 76 juta dos Covifenz.
“Ini adalah vaksin Covid-19 pertama yang dibenarkan dibangunkan oleh syarikat berpangkalan di Kanada dan yang pertama menggunakan teknologi protein berasaskan tumbuhan,” kata satu kenyataan kerajaan.
Ottawa sebelum ini meluluskan enam vaksin Covid-19 lain termasuk AstraZeneca, Moderna, Pfizer.
Menurut pihak berkuasa kesihatan Kanada ujian klinikal menunjukkan vaksin Covifenz dua dos 71% berkesan dalam melindungi orang dewasa berusia 18 hingga 64 tahun daripada jangkitan koronavirus. – AFP, 25 Februari, 2022.
Komen