IBU bapa dan penjaga boleh membawa anak masing-masing untuk mendapatkan vaksin di bawah Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan Kanak-kanak (PICKids) secara jumpa terus di pusat pemberian vaksinasi (PPV) terpilih bermula 1 Mac ini.
Timbalan Menteri Kesihatan Dr Noor Azmi Ghazali dalam satu kenyataan hari ini berkata, Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) akan mengeluarkan senarai PPV berkenaan melalui laman sesawang JKN masing-masing dalam masa terdekat.
“Ibu bapa serta penjaga disaran menyemak terlebih dahulu senarai PPV yang melaksanakan vaksinasi secara jumpa terus ini dan mengambil kesempatan mendapatkan vaksin untuk anak-anak mereka semasa cuti sekolah,” katanya yang juga pengerusi jawatankuasa bertindak imunisasi Covid-19 kanak-kanak (CITF-C).
PICKids bagi kanak-kanak berusia 5 hingga bawah 12 tahun bermula sejak 3 Februari lalu dan sehingga semalam, seramai 661,752 kanak-kanak menerima dos pertama vaksin.
Dr Noor Azmi berkata, purata vaksinasi kini sekitar 50,000 dos sehari dan sekiranya kapasiti itu ditingkatkan sebanyak 60,000 sehari, sasaran 70% kanak-kanak menerima satu dos boleh dicapai pada akhir Mac ini.
Beliau berkata, negeri dengan liputan kadar vaksinasi tinggi adalah Sarawak 34.7%, diikuti Melaka 31.6%, Pulau Pinang (25.7%), Perak (24.4%), manakala negeri yang masih belum mencapai liputan 10% adalah Kelantan (6.1%), Terengganu (7.5%) dan Sabah (8.9%).
Menurutnya, PICKids menyasarkan 3.6 juta kanak-kanak berumur 5 hingga bawah 12 tahun menerima vaksin Covid-19 sebagai persediaan pembukaan sekolah bagi mengurangkan risiko jangkitan serta mencegah kewujudan kluster dan kes di sekolah.
Dr Noor Azmi berkata, hanya vaksin Comirnaty keluaran Pfizer-BioNTech diberikan di bawah PICKids dan mereka akan menerima dua dos vaksin dalam sela masa lapan minggu bagi memastikan perlindungan optimum.
Katanya, Kementerian Kesihatan (KKM) akan mengaktifkan sistem tempahan janji temu di dalam aplikasi MySejahtera secara berperingkat hari ini untuk mendapatkan janji temu vaksinasi bermula 7 Mac ini.
“Melalui kaedah ini ibu bapa dan penjaga boleh memilih tarikh, masa dan pusat pemberian vaksin yang bersesuaian,” katanya. – Bernama, 24 Februari, 2022.
Komen