Pusat kuarantin MAEPS dibuka semula esok dengan 100 katil, kata Khairy


Chan Kok Leong

Pusat kuarantin MAEPS di Serdang akan dibuka semula esok dengan kapasiti 100 katil, kata Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin. – Gambar fail The Malaysian Insight, 24 Februari, 2022.

PUSAT kuarantin MAEPS di Serdang, Selangor akan dibuka semula esok dengan 100 katil, kata Khairy Jamaluddin.

“Ini adalah langkah berjaga-jaga dan akan bertindak sebagai penampan supaya hospital awam dapat terus merawat pesakit bukan Covid-19 dan pembedahan elektif tanpa sebarang gangguan,” kata Menteri Kesihatan pada sidang media hari ini.

“MAEPS akan dibuka semula esok dengan hanya 100 katil. Pada kemuncaknya (jangkitan Delta), MAEPS mempunyai 10,000 katil,” kata menteri itu.

Beliau berkata, adalah penting untuk membuka semula MAEPS bagi memudahkan operasi hospital awam.

Khairy berkata, apabila hospital awam merawat kedua-duanya, mereka perlu mengasingkan semua katil dan bahagian untuk mengelakkan jangkitan silang sekali gus menyukarkan pengurusan hospital.

“MAEPS adalah untuk kes berisiko rendah dan untuk tempoh yang lebih singkat berbanding Delta.”

Walaupun bilangan jangkitan lebih tinggi, penggunaan katil hospital masih terkawal.

Sementara itu, Khairy berkata, 1,804 pesakit dimasukkan ke hospital pada 23 Februari lalu.

Daripada jumlah itu, 34.4% (621 kes) adalah pesakit dalam kategori 3, 4 dan 5 manakala baki 65.6% (1,183) adalah kategori 1 dan 2, kata menteri itu.

“Daripada kategori baharu 3-5 kes semalam, 78.87% tidak divaksin atau tidak divaksinasi atau tidak menerima dos penggalak.

“Oleh itu, mereka yang mempunyai gejala paling teruk adalah mereka yang tidak dilindungi oleh suntikan vaksin atau dos penggalak,” kata Khairy.

Beliau berkata, terdapat lebih banyak kemasukan ke hospital bagi pesakit Covid-19 baru-baru ini kerana kementerian mahu mengambil langkah berjaga-jaga.

“Majoriti mereka yang dimasukkan adalah dari kategori 1-2. Kes kategori 3-5 hanya 34%.”

Kementerian melaporkan 31,199 jangkitan baharu Covid-19 semalam dengan 20,399 pulih.

Daripada jumlah itu, hanya 0.62% atau 194 kes berada dalam kategori 3-5 manakala selebihnya (99.38%) berada dalam kategori 1-2. – 24 Februari, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen