KONTAK rapat yang telah menerima suntikan penggalak Covid-19 dan tiada gejala tidak perlu menjalani kuarantin, kata Khairy Jamaluddin.
Menteri kesihatan berkata mereka cuma perlu buat ujian kendiri pada hari pertama dan ketiga sahaja.
“Jika kedua-dua ujian itu negatif, mereka tidak perlu buat semula ujian itu.
“Tetapi jika mereka ada gejala pada hari pertama, mereka perlu menjalani kuarantin di rumah selama lima hari,” kata Khairy dalam sidang media hari ini.
Bagaimanapun, mereka yang belum divaksin sepenuhnya atau masih belum mengambil suntikan penggalak perlu menjalani kuarantin (perintah pemantauan dan pemerhatian) selama tujuh hari, katanya.
Khairy berkata, protokol baharu itu berkuat kuasa mulai 1 Mac.
Tambahnya lagi kontak rapat yang telah divaksin sepenuhnya yang baru sembuh daripada Covid-19 dalam tempoh 60 hari tidak perlu menjalani kuarantin.
Sementara itu, kerajaan telah melanjutkan tarikh akhir untuk mengekalkan status vaksin sepenuhnya sehingga 31 Mac.
“Semua warga emas (berumur 60 tahun ke atas) dan mereka yang mengambil vaksin Sinovac masih perlu mendapatkan suntikan penggalak untuk mengekalkan status lengkap vaksinasi dalam MySejahtera.
“Tarikh akhir untuk ini, bagaimanapun, telah dilanjutkan kepada 31 Mac. Mulai 1 April, mereka yang belum menerima suntikan penggalak mereka akan ditukar status vaksin sepenuhnya kepada tidak lengkap,” kata Khairy.
Pada Disember, kerajaan mengumumkan semua rakyat berumur 60 tahun ke atas serta penerima vaksin Sinovac perlu mendapatkan suntikan ketiga menjelang Februari atau akan dianggap tidak divaksin sepenuhnya. – 24 Februari, 2022.
Komen