Hong Kong guna kuasa kecemasan benar pasukan perubatan China masuk


Pesakit Covid-19 menunggu giliran untuk menerima rawatan di luar hospital Hong Kong. – Gambar EPA, 24 Februari, 2022.

KERAJAAN Hong Kong menggunakan kuasa kecemasan pada Khamis untuk membenarkan doktor dan jururawat dari tanah besar China masuk ke hab kewangan itu ketika ia bergelut menangani wabak koronavirus yang semakin meningkat.

“Peraturan itu akan menyediakan rangka kerja undang-undang untuk CPG (Kerajaan Rakyat Pusat) untuk memberikan bantuan segera yang diperlukan kepada Hong Kong dengan cara lebih berkesan dan cepat,” kata kerajaan dalam satu kenyataan.

Kota metropolitan yang berpenduduk padat sedang dilanda gelombang Covid-19 paling teruk, mencatatkan ribuan kes setiap hari, kemasukan ke hospital yang tinggi dan keperluan bandar agar semua pesakit diasingkan di unit khusus.

Pihak berkuasa tempatan menggunakan strategi sifar-Covid-19 yang serupa dengan China untuk mengekang jangkitan selama kira-kira dua tahun.

Bagaimanapun, ia tidak berjaya apabila varian Omicron yang sangat mudah berjangkit berjaya menembusi pertahanan tersebut dan meminta bantuan dari tanah besar China.

“Hong Kong kini menghadapi situasi wabak yang sangat teruk dengan cepat,” kata kerajaan dalam kenyataannya yang mengumumkan penggunaan kuasa kecemasan.

Pasukan perubatan dari tanah besar China pada masa ini tidak dibenarkan beroperasi di Hong Kong tanpa lulus peperiksaan tempatan dan peraturan pelesenan.

Kuasa kecemasan “mengecualikan individu atau projek tertentu daripada semua keperluan berkanun yang berkaitan” untuk beroperasi bagi meningkatkan kapasiti kawalan wabak Hong Kong untuk membendung gelombang kelima dalam tempoh yang singkat,” kata kenyataan itu. – AFP, 24 Februari, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen