SEBANYAK 55 orang dilaporkan meninggal dunia semalam, paras harian tertinggi bagi tahun ini, ketika Malaysia mencatatkan 31,119 jangkitan baharu Covid-19, kata Kementerian Kesihatan (KKM).
Ini adalah kali pertama sejak bermulanya wabak pada 2020 kes harian melepasi paras 30,000.
Negara melaporkan jumlah kes harian yang tinggi pada minggu lalu, sebahagian besarnya disebabkan oleh varian Omicron yang mudah berjangkit.
Kes tertinggi sebelum ini iaitu 28,825 kes dilaporkan pada Sabtu lepas, 19 Februari.
Jangkitan baharu itu menjadikan kes kumulatif di negara kepada 3,283,825.
Wilayah Lembah Klang menyumbang sebahagian besar jangkitan baharu, melebihi 10,000 kes.
Selangor melaporkan jumlah kes terbanyak semalam dengan 7,798 kes, diikuti Sabah (3,971) dan Kedah (2,684).
Negeri lain yang melaporkan kes baharu adalah Pulau Pinang (2,575), Johor (2,281), Kuala Lumpur (2,186), Kelantan (2,135), Negeri Sembilan (1,998), Pahang (1,560), Perak (1,222), Terengganu (773), Melaka (600), Labuan (499), Sarawak (424), Perlis (304) dan Putrajaya (189).

Daripada 55 kematian itu, 23 disahkan sebagai kematian di luar hospital. Kesemua kematian adalah kes tertunggak.
Jumlah terbaharu ini menjadikan angka kematian kepada 32,488, dengan 6,629 sebagai kematian di luar hospital.
Selangor melaporkan jumlah kematian tertinggi dengan 10 dengan lima daripadanya melibatkan kematian di luar hospital.
Sabah berada di tempat kedua dalam senarai dengan 9 kematian, manakala Johor 8 kematian.
Negeri lain yang melaporkan kematian baharu ialah Perak (7); Kedah, Pahang dan Melaka, masing-masing 4; Pulau Pinang dan Kuala Lumpur, masing-masing 3; dan Kelantan, Negeri Sembilan dan Perlis, masing-masing 1 kes.
Tiada kematian berkaitan koronavirus dilaporkan di Sarawak, Terengganu, Labuan atau Putrajaya.
Sebagai rekod, kematian tertinggi dalam sehari tertinggi yang pernah dicatatkan adalah 592, dilaporkan pada 11 September tahun lepas.
Kadar kematian virus adalah pada 0.1%, manakala purata dua minggu kematian virus adalah 11 untuk setiap 10 juta orang. – 24 Februari, 2022.
Komen