ITALI akan menamatkan darurat Covid-19 pada akhir Mac dan perlahan-lahan menarik balik undang-undang yang dikenakan semasa wabak, kata Perdana Menteri Mario Draghi pada Rabu.
Matlamatnya adalah untuk “membuka semula segala-galanya, secepat mungkin”, selepas lebih dua tahun krisis kesihatan, tambahnya.
Pandemik melanda Itali dengan teruk pada awal 2020 dan setakat ini meragut lebih 153,000 nyawa.
Negara itu merekodkan lebih 220,000 kes positif harian pada awal Januari, tetapi jumlahnya menurun dengan ketara, dengan kementerian kesihatan melaporkan hanya di bawah 50,000 pada Rabu.
Ekonomi ketiga terbesar zon euro itu sedang bergelut untuk pulih daripada penutupan yang melumpuhkan kewangan.
“Kerajaan sedar kekuatan pemulihan bergantung kepada keupayaan untuk mengatasi kecemasan pada masa ini,” kata Draghi dalam ucapan di Florence.
Itali pada masa ini mempunyai Super Green Pass, yang membuktikan pembawa sudah divaksin lengkap atau baru pulih daripada virus, dan ia wajib bagi pekerja.
Ia juga wajib dalam kebanyakan keperluan sosial awam—tetapi peraturan itu akan ditarik balik secara beransur-ansur, bermula dengan aktiviti luar, kata Draghi.
Ia termasuk di pesta, aktiviti sukan, perayaan dan acara kebudayaan, katanya.
“Kami akan terus memantau situasi pandemik dengan teliti, bersedia untuk campur tangan sekiranya berlaku wabak,” kata Draghi.
“Tetapi matlamat kami adalah untuk dibuka semula sepenuhnya, secepat mungkin”. – AFP, 24 Februari, 2022.
Komen