Kes Loh beri harapan baharu buat Indira Gandhi


Noel Achariam

M Indira Gandhi sedang menunggu bekas suaminya mualaf ditemui dan anak perempuannya dikembalikan kepadanya seperti diarahkan mahkamah. – Gambar fail The Malaysian Insight, 24 Februari, 2022.

KES Loh Siew Hong yang disatukan semula dengan anak-anaknya selepas tiga tahun telah membuka semula harapan buat M. Indira Gandhi agar dapat bertemu anak perempuannya selepas 13 tahun berpisah.

Tetapi tidak seperti kes Loh di mana pihak berkuasa menjejak anak-anaknya ke rumah jagaan di Perlis, Indira tidak tahu di mana anak perempuannya, Prasana Diksa, selepas gadis itu dibawa lari oleh bapanya ketika masih bayi.

Indira memberitahu The Malaysian Insight beliau tidak faham bagaimana polis, dengan segala sumber yang ada, gagal mengesan bekas suami dan anaknya.

“Memang benar, kes Loh telah beri saya harapan baharu, tetapi kes saya masih belum selesai,” kata guru tuisyen itu kepada The Malaysian Insight.

“Saya sangat gembira untuk Loh. Dalam kesnya beliau dapat semula anak-anaknya kerana pihak berkuasa tahu di mana mereka.

“Tetapi, dalam kes saya, pihak berkuasa masih belum beri sebarang maklumat tentang dia (Prasana) berada. Kami harap keajaiban akan berlaku tidak lama lagi.”

Pada Isnin, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur memutuskan perintah mahkamah sebelum ini yang memberikan hak penjagaan penuh kepada Loh masih kekal.

Tiga beradik itu diculik pada 2019 dan bekas suaminya, Nagahswaran Muniandy – kini dipenjarakan atas tuduhan berkaitan dadah - didakwa mengislamkan kanak-kanak itu tanpa pengetahuan Loh.

Hakim Collin Lawrence Sequerah turut membatalkan hak penjagaan tidak sah tiga kanak-kanak itu, yang ditahan oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat dan seorang individu bernama Nazirah Nanthakumari.

Mengenai keputusan penting kes mahkamahnya mengenai penukaran agama unilateral anak-anaknya, Indira berkata ia tidak sepatutnya berlaku.

“Saya percaya keputusan mahkamah persekutuan perlu diikuti.

“Kita faham setiap negeri ada enakmen Islam sendiri dan tidak sepatutnya bercanggah dengan penghakiman mahkamah persekutuan.”

Indira percaya kerajaan perlu melihat semula perkara ini dengan lebih serius.

“Ini supaya tidak membebankan kami ibu tunggal yang menghadapi penukaran agama anak bawah umur.

“Ini tidak sepatutnya berlaku di negara berbilang kaum seperti negara kita,” katanya.

Pada 2018, Mahkamah Persekutuan membatalkan penukaran agama unilateral anak-anak Indira - Prasana dan dua adik beradik yang lebih tua.

Mahkamah mengekalkan pembatalan penukaran agama oleh hanya seorang ibu bapa dan mengesahkan hak penjagaan kepada ibu.

Dalam kes Loh, Mufti Perlis Mohd Asri Zainul Abidin berkata beliau akan pastikan anak-anak Loh kekal beragama Islam.

Kembar perempuan berusia 14 tahun dan lelaki berusia 10 tahun itu memeluk Islam atas permintaan bekas suami Loh, yang menculik kanak-kanak itu ketika Loh dimasukkan ke hospital tiga tahun lalu.

Indira kini sedang menunggu bekas suaminya mualaf Muhammad Riduan Abdullah ditemui dan gadis itu dikembalikan kepadanya seperti yang diarahkan mahkamah.

Indira telah diberikan hak penjagaan Prasana yang pemelukan Islam secara unilateral oleh Riduan telah terbatal oleh mahkamah.

Riduan kini menjadi buruan kerana melanggar perintah Mahkamah Tinggi Ipoh pada 2014 untuk mengembalikan Prasana, membawa kepada perintah mandamus oleh mahkamah memaksa ketua polis negara (KPN) menangkapnya.

Indira juga menyaman bekas KPN Abdul Hamid Bador sebanyak RM100 juta kerana gagal mengesan anak perempuannya.

Hamid, yang merupakan KPN dari Mei 2019 hingga bersara tahun lalu, berkata beberapa kali beliau juga mahu keadilan untuk Indira dan polis bekerja keras untuk mencari Riduan dan Prasana, yang disyaki beberapa orang berada di selatan Thailand.

Hamid, bagaimanapun, mengakui tahu keberadaan Riduan dan bekerja melalui perantara, tetapi rumit untuk membawanya pulang.

Ini menyebabkan Indira memfailkan saman terhadap Hamid pada 2020, mendakwa KPN ketika itu dengan sengaja dan cuai mengabaikan perintah mandamus yang dikeluarkan oleh Mahkamah Persekutuan, gagal menyiasat atau mengambil tindakan sewajarnya untuk mengembalikan Prasana. – 24 Februari, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen