Sedikit saja kes kesan sampingan teruk lepas vaksin Covid-19, kata agensi KKM


Sebanyak 37 kes AEFI dalam kalangan kanak-kanak berusia lima hingga 11 tahun dilaporkan setakat Jumaat lalu, dan dianggap sebagai tidak serius, kata NPRA. – Gambar fail The Malaysian Insight, 23 Februari, 2022.

KESAN sampingan selepas vaksinasi Covid-19 hanya 0.0003% daripada sejuta dos, kata Agensi Pengawalseliaan Farmaseutikal Kebangsaan (NPRA) hari ini.

Pengarah NPRA Dr Roshayati Mohamad Sani berkata 25,211 laporan diterima berkenaan kesan sampingan selepas imunisasi (AEFI) membabitkan 383 kes bagi setiap sejuta dos.

Daripada jumlah laporan AEFI yang diterima dan disiasat, 1,186 ialah penerima suntikan penggalak, dan 37 kanak-kanak sudah berusia lima hingga 11 tahun.

Sebanyak 1,186 kes AEFI daripada kalangan penerima suntikan penggalak membabitkan hanya 86 kes bagi setiap sejuta dos.

“Ia lebih rendah berbanding keseluruhan kadar AEFI negara iaitu 383 kes bagi setiap sejuta dos,” kata Roshayati dalam satu kenyataan.

Kes AEFI yang teruk dalam kalangan penerima suntikan dos penggalak ialah 87 atau 7.34%.

Daripada jumlah aduan AEFI yang diterima, hanya 1,758 atau 27 kes daripada sejuta dos, dianggap sebagai kes serius.

Majoritinya – 23,453 atau 93% bukan kes serius. Ia termasuk gejala seperti demam, sakit kepala, sakit di tempat suntikan, sakit badan dan keletihan.

“Tempoh pulih untuk gejala ini dalam sehari atau dua hari,” kata Roshayati.

AEFI dalam kalangan kanak-kanak

Sebanyak 37 kes AEFI dalam kalangan kanak-kanak berusia lima hingga 11 tahun dilaporkan setakat Jumaat lalu, dan dianggap sebagai tidak serius. Hanya satu kes, iaitu kes ke-38 membabitkan pesakit dimasukkan ke hospital dan kini sudah pulih.

“AEFI dalam kalangan kanak-kanak membentuk 0.1 laporan bagi setiap 1,000 dos.”

Sebanyak 20 lagi kes AEFI dalam kalangan kanak-kanak diterima setakat Isnin, dan ia dianggap tidak serius, kata Roshayati. – 23 Februari, 2022.

Berita penuh di sini.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen