VARIAN BA.2 bagi strain koronavirus Omicron tidak lebih teruk berbanding yang asal, kata Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) pada Selasa.
Berdasarkan sampel dari pelbagai negara, “kami tidak melihat perbezaan dalam keterukan BA.1 berbanding BA.2,” kata Maria Van Kerkhove, pegawai kanan WHO, menerusi sesi soal jawab dalam talian.
“Jadi ini adalah tahap keterukan yang sama kerana ia berkaitan dengan risiko kemasukan ke hospital. Dan ini sangat penting, kerana di banyak negara mereka mempunyai jumlah sebaran yang besar, BA.1 dan BA.2,” katanya.
Van Kerkhove, yang mengetuai bahagian teknikal pasukan tindak balas Covid-19 WHO, melaporkan penemuan jawatankuasa pakar yang menjejaki evolusi virus itu.
Kesimpulan mereka akan melegakan negara seperti Denmark, dengan varian BA.2 Omicron tersebar secara meluas.
WHO berkata dalam satu kenyataan data awal mencadangkan varian BA2 baharu “nampak secara semula jadi lebih mudah ditularkan berbanding BA.1,” dan kajian lanjut sedang dijalankan untuk mengetahui mengapa ini berlaku.
“Bagaimanapun, penyebaran global semua varian dilaporkan merosot,” tambahnya.
Koronavirus meragut lebih 5.8 juta nyawa di seluruh dunia, menurut pengiraan AFP yang dikumpul daripada sumber rasmi pada Selasa.
Mengambil kira lebihan kematian yang dikaitkan dengan Covid-19, WHO menganggarkan jumlah kematian sebenar mungkin dua hingga tiga kali lebih tinggi. – AFP, 23 Februari, 2022
Komen