ANGGOTA Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (Apec) perlu memainkan peranan bagi menangani beberapa cabaran utama dalam usahanya untuk memperkasakan keselamatan makanan dan memulihara alam sekitar.
Pengerusi Perkongsian Dasar Apec mengenai Keselamatan Makanan, Chantanon Wannakejohn dalam satu kenyataan berkata terdapat keperluan bagi anggota Apec untuk menambah baik kualiti dan kuantiti pengeluaran makanan, termasuk kaedah perdagangan produk makanan antara anggotanya.
“Meskipun masing-masing mempunyai pelbagai sistem makanan, ekonomi anggota berdepan dengan kelemahan yang sama, dan itulah sebabnya kerjasama menjadi kunci dalam usaha kita untuk mengukuhkan keselamatan makanan di Apec.
“Ketika kita mencari cara untuk meningkatkan pengeluaran, kita perlu mengurangkan kesan alam sekitar rantaian nilai makanan dan menyokong hasil alam sekitar.
“Apec sepatutnya berperanan dalam menangani beberapa cabaran utama keselamatan makanan kerana kita, secara kolektif, adalah pengeluar dan pengguna makanan penting,” katanya.
Keselamatan makanan, jaminan makanan dan pembangunan pertanian mampan sejak sekian lama menjadi kebimbangan di Asia-Pasifik.
Memandangkan rantau itu berusaha untuk mengatasi kesan buruk pandemik Covid-19, Apec memacu tindakan untuk memastikan rakyat tidak kelaparan dan memperoleh makanan berkhasiat, sambil memulihara alam sekitar.
Memanfaatkan kemajuan pesat teknologi digital sepanjang tempoh pandemik, Chantanon menyeru ahli ekonomi menggunakan standard data global lebih meluas untuk meningkatkan ketelusan dan kecekapan keseluruhan rantaian nilai makanan, dengan penilaian dijadual dilaksana pada 2025.
“Pendigitalan dan teknologi inovatif lain akan mewujudkan peluang untuk mengukuhkan keselamatan makanan dengan meningkatkan produktiviti, meminimumkan kehilangan dan pembaziran makanan, menangani perubahan iklim dan bencana alam, serta memudahkan pengurusan sisa makanan,” katanya.
Tahun ini, Perkongsian Dasar mengenai Keselamatan Makanan akan menumpukan kepada pembangunan tindakan konkrit untuk melaksanakan Pelan Hala Tuju Keselamatan Makanan Apec 2030.
Mesyuarat Menteri Mengenai Keselamatan Makanan dijadual berlangsung Ogos tahun ini. – Bernama, 23 Februari, 2022
Komen