Restoran Cina hilang pelanggan kerana Omicron


Khoo Gek San

Ramai pengusaha restoran yang menantikan 15 hari Tahun Baharu Cina untuk mengembalikan perniagaan mereka ke tahap pra-pandemik kini menyaksikan kerugian hampir 60%. – Gambar fail The Malaysian Insight, 23 Februari, 2022.

HARAPAN pemilik restoran Cina untuk memulihkan kerugian yang dialami sejak dua tahun lalu musnah apabila gelombang Omicron menyebabkan pelanggan membatalkan tempahan mereka, terutamanya semasa tempoh Tahun Baharu Cina, kata pemain industri.

Ramai pengusaha restoran yang menantikan 15 hari Tahun Baharu Cina untuk mengembalikan perniagaan mereka ke tahap pra-pandemik kini menyaksikan kerugian hampir 60%.

Bukan sahaja mereka terpaksa berdepan dengan kerugian, restoran juga berdepan dengan kenaikan kos bahan mentah dan gaji yang lebih tinggi.

Presiden Persatuan Restoran dan Chef Koo Soo Malaysia Wong Teu Soon, berkata walaupun perniagaan meningkat pada malam tahun baru lunar, ia menurun selepas itu.

“Sebelum Tahun Baharu Cina, kami menjangkakan volum perniagaan pulih sebanyak 75% tetapi ia kini menurun kepada 60%,” kata Wong kepada The Malaysian Insight.

“Ada banyak tempahan yang dibatalkan selepas hari ketujuh tahun baharu.

“Kumpulan kecil terus membuat tempahan makan malam dan jamuan perkahwinan, tetapi makan malam tahun baharu kebanyakannya dibatalkan.

“Restoran tidak meminta deposit apabila tempahan dibuat dan mereka juga tidak membeli bahan terlebih dahulu.

“Sehari sebelumnya, kami akan semak dengan pelanggan. Jika mereka tidak membatalkannya, barulah kami akan menyediakan bahannya.”

Mereka juga tidak meminta alasan pembatalan kerana mereka sudah terbiasa dengannya sejak dua tahun lalu, kata Wong, sambil menegaskan ia kebanyakannya kerana seseorang dalam kumpulan itu dijangkiti Covid-19.

Malaysia kini sedang mengalami gelombang Omicron, mencatat kes harian lima digit dalam beberapa minggu lalu.

Dalam tempoh 11 hari lalu, kes harian melepasi 20,000 dengan 25,099 kes dilaporkan semalam.

Wong yang juga presiden Persatuan Pemilik Kedai Kopi Malaysia-Singapura berkata, perniagaan di kedai kopi juga terjejas teruk akibat peningkatan kes harian.

“Sebelum tahun baharu, perniagaan di kedai kopi baik dan ia berjalan dengan baik. Sekarang hampir tiada sesiapa pun.”

Kedai kopi juga berdepan kos operasi lebih tinggi tetapi tidak dapat menaikkan harga kerana bimbang ia menimbulkan kemarahan pelanggan.

“Kami mengorbankan masa bersama keluarga kami pada hari pertama tahun baharu tetapi tiada siapa yang memahami kesusahan kami.”

Bisnes di Lembah Klang lesu

Justin Hor Chee Keong, timbalan presiden Persatuan Restoran Malaysia Selangor dan Wilayah Persekutuan Ku Su Shin Chung Hung berkata, perniagaan mula merosot sebanyak 40% selepas hari kelapan tahun baharu.

“Pengusaha makanan dan minuman di Lembah Klang menyangka kami akan dapat kembali ke tahap pra-wabak dalam 15 hari tahun baharu tetapi perniagaan masih teruk.

“Kami menjangkakan pulih sebanyak 70% tetapi peningkatan mendadak dalam kes harian menyebabkan banyak pembatalan.”

Pada masa ini, kebanyakan perhimpunan di restoran terhad kepada tiga atau empat orang tetapi tidak melebihi 12 orang.

Beliau menggesa kerajaan untuk mengawal wabak dan meningkatkan pengambilan dos penggalak.

“Jika ini tidak dikawal, industri akan terjejas sehingga April atau Mei.”

Walaupun perniagaan teruk, kos operasi dan gaji meningkat, kata Hor.

“Barang naik 10% manakala gaji yang dahulunya RM1,800 naik kepada RM3,300 kerana kami hanya boleh mengambil pekerja tempatan.

“Memandangkan keadaan semasa, bagaimana kami hendak membayar bil?” soal Hor.

Kekurangan tenaga kerja

Tony Lim, jurucakap Perikatan Pengendali F&B Malaysia berkata, perniagaan perlahan-lahan pulih dari Ogos hingga September tahun lalu tetapi merosot pada tahun baharu.

Kemerosotan perniagaan mungkin disebabkan oleh wabak Omicron, usaha membayar balik pinjaman mereka atau kekurangan pekerja, kata Lim.

“Dari 7 Februari, restoran besar menyaksikan jumlah perniagaan mereka menurun. Covid-19 bukan satu-satunya punca, kekurangan tenaga kerja satu faktor lain.”

Kekurangan tenaga kerja bermakna kebanyakan restoran hanya boleh beroperasi dengan kapasiti 70%, katanya.

Sementara itu, kos bahan mentah meningkat sebanyak 15 hingga 20% tetapi perniagaan masih boleh menyesuaikan harga.

Lim berharap perniagaan akan meningkat pada April atau Mei, apatah lagi menjelang Hari Raya. – 23 Februari, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen