KETIKA Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor kira-kira dua minggu lagi, semua mata tertumpu kepada rakyat Johor yang bekerja di Singapura dan sama ada mereka akan pulang mengundi.
Dianggarkan terdapat kira-kira 200,000 rakyat Johor di Singapura yang membentuk 2.5 juta daftar pemilih.
Pengundi yang ditemu bual The Malaysian Insight berbelah bahagi sama ada akan pulang atau tidak untuk mengundi.
Sesetengah berkata ia hak mereka dari segi perlembagaan untuk mengundi dan mereka akan mengambil inisiatif untuk pulang ke tanah air atau memohon undi pos.
Ada juga yang berpendapat PRN itu membuang masa kerana tiada calon yang akan membawa perubahan bermakna di negeri itu.
Bagi mereka yang ingin pulang untuk mengundi, sama ada mereka mampu atau tidak bergantung kepada mendapatkan tiket bagi laluan darat dan udara Laluan Perjalanan Lengkap Vaksin (VTL) Malaysia-Singapura.
Eng Kok Siang, 43, berkata beliau tidak dapat membeli tiket VTL, tetapi ia tidak menghalangnya untuk kembali.
Eng tidak pulang ke rumah sejak wabak Covid-19 menyaksikan penutupan sempadan dua tahun lalu.
“Kebetulan masa saya di sini bertepatan dengan hari pengundian,” katanya.
“Saya akan mengambil inisiatif untuk beratur dan membuang undi,” kata pengundi Sungai Balang itu.
Jualan tiket untuk VTL digantung buat sementara waktu pada 21 Disember berikutan peningkatan kes Covid-19.
Minggu lalu, Menteri Pengangkutan Wee Ka Siong mengumumkan tiket penerbangan dan bas untuk VTL disambung semula dengan kapasiti tempat duduk 100%.
Perjalanan dengan bas bermula semalam (22 Februari).
Eng percaya sebagai pengundi beliau mempunyai tanggungjawab untuk melaksanakan haknya.
“Keadaan politik yang bergelora sekarang satu sebab mengapa kita perlu mengundi dan menukar status quo.
“Saya mengikuti perkembangan di Johor dengan teliti semasa di Singapura dan saya faham mengapa kerajaan Barisan Nasional dan Perikatan Nasional memilih untuk membubarkan DUN,” kata Eng yang mengundi sejak 2004.
Ketika keputusan mungkin tidak seperti yang diharapkannya, Eng berkata ia bukan masalah buatnya selagi beliau sudah melaksanakan tanggungjawabnya.
“Kita tidak boleh hanya merungut dan mengkritik kerajaan tetapi tidak membuang undi.
“Dalam kalangan rakan, saya seorang sahaja yang memutuskan untuk pulang dan mengundi. Saya cuba meyakinkan orang lain untuk mendaftar secara undi pos tetapi mereka tidak sanggup berbuat demikian.”
Disebabkan wabak itu, buat pertama kalinya, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menjadikan undian pos sebagai pilihan untuk rakyat Johor yang bekerja di Singapura.

Pendaftaran tamat pada 18 Februari tetapi tidak jelas berapa ramai yang mendaftar.
Pada pilihan raya sebelum ini, rakyat Malaysia yang berpangkalan di wilayah jiran seperti Selatan Thailand (Narathiwat, Pattani, Yala, Songkhla dan Satun), Singapura, Brunei, serta Kalimantan di Indonesia tidak layak mengundi pos.
Desmond Tay, 34, yang mengundi di kerusi Bentayan berkata, beliau tidak berjaya mendapatkan tiket VTL untuk pulang, apatah lagi keluar mengundi.
“Memandangkan kes Covid-19 meningkat dengan mendadak, keluarga saya meminta saya menangguhkan pulang ke rumah kerana bimbang keselamatan saya.”
Tay berkata, beliau tidak peduli dengan situasi politik kerana kesihatan dan pekerjaan menjadi keutamaannya.
“Pilihan raya ini seperti memilih antara dua epal busuk, siapa yang menang juga akan busuk,” katanya.
Seorang lagi warga Johor, Ivan Soon, 37, berkata beliau memutuskan untuk tidak mengundi sama sekali kerana kecewa dengan apa yang berlaku dalam negara.
“Pada pilihan raya lalu, saya mengambil cuti untuk pulang mengundi supaya kita boleh mempunyai kerajaan yang dipilih secara demokrasi.
“Tetapi disebabkan kemelut politik, kita bertukar kerajaan sebanyak tiga kali.
“Jadi apa gunanya mengundi?” tanyanya.
Soon berkata, beliau membuat persiapan untuk pulang ke Johor pada 15 Mac dan tidak berhasrat untuk mengubahnya.
“Saya kecewa dan tidak lagi berminat untuk mengundi pada pilihan raya umum akan datang.”
Pada 2018, Pakatan Harapan berkuasa selepas kemenangan bersejarah, menjatuhkan pemerintahan Barisan Nasional selama 60 tahun.
Tidak sampai dua tahun berkuasa, kerajaan PH digulingkan susulan Langkah Sheraton yang menyaksikan Muhyiddin Yassin dilantik sebagai perdana menteri dan membentuk kerajaan Perikatan Nasional.
Tujuh belas bulan kemudian, tempoh perkhidmatan Muhyiddin juga berakhir dengan latar belakang pengurusan wabak yang teruk menyaksikan beliau tersingkir dan Ismail Sabri Yaakob dilantik sebagai perdana menteri kesembilan. – 23 Februari, 2022.
Komen