PAS mahu Mahkamah Syariah diberi kuasa semak kes tukar agama


Menurut Dewan Ulama PAS Pusat, pindaan ini penting untuk mengelak konflik berulang pada masa depan. – Gambar fail The Malaysian Insight, 22 Februari, 2022.

PAS mahu Perlembagaan Persekutuan dipinda untuk memberi bidang kuasa kepada Mahkamah Syariah membuat semakan kehakiman bagi kes melibatkan umat Islam khusus yang berkaitan isu pertukaran agama.

Pindaan ini penting untuk mengelak konflik berulang pada masa depan, kata Dewan Ulama Pas Pusat, sehari selepas Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur semalam mengarahkan tiga kanak-kanak yang memeluk Islam tanpa pengetahuan dan kebenaran ibunya dikembalikan kepada ibu kandung mereka yang beragama Hindu.

“Dewan Ulamak PAS Pusat  menggesa pindaan perlembagaan dalam Jadual kesembilan senarai negeri untuk memberi kuasa kepada Mahkamah Syariah bidang kuasa melakukan judicial review berhubung kes berkaitan umat Islam khususnya berkaitan pertukaran agama agar tiada lagi konflik seperti ini berlaku di masa hadapan,” kata dewan itu dalam satu kenyataan.

Kenyataan Dewan Ulama PAS Pusat juga kebetulan dibuat sehari selepas Mahkamah Persekutuan memutuskan Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor tiada kuasa untuk menggubal undang-undang yang memberi kuasa kepada mahkamah tinggi syariah negeri mendengar semakan kehakiman terhadap keputusan pihak berkuasa agama negeri.

Panel sembilan hakim Mahkamah Persekutuan diketuai Ketua Hakim Negara Tengku Maimun Tuan Mat semalam sebulat suara mengisytiharkan Seksyen 66A Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Negeri Selangor) 2003 sebagai tidak berperlembagaan, terbatal dan tidak sah.

Semalam juga, dalam kes berasingan, Hakim Mahkamah Tinggi Collin Lawrence Sequerah membenarkan permohonan habeas corpus Loh untuk mendapatkan semula tiga anaknya – dua kembar perempuan berumur 14 tahun dan seorang lelaki berumur 10 tahun – yang sebelum ini dalam jagaan Jabatan Kebajikan Masyarakat.

Loh memfailkan habeas corpus setelah mendapat hak penjagaan mereka yang sebelum ini disembunyi bekas suaminya M. Nagahswaran sejak 2019. Dalam tempoh itu, tiga beradik itu telah diislamkan di Perlis tanpa pengetahuan dan kebenaran Loh sebagai ibu.

Menurut Dewan Ulama PAS Pusat, pihak berkuasa agama di setiap negeri juga perlu segera meminda syarat pertukaran agama dengan keizinan ibu atau bapa, dan bukan ibu dan bapa.

Dewan Ulama PAS Pusat juga mahu semua pihak baik pertubuhan agama atau parti politik menghormati hak tiga kanak-kanak itu memilih agama Islam.

Ia juga tidak mahu mereka prejudis terhadap mana-mana pihak yang membantu tiga kanak-kanak itu sedangkan pengislaman tersebut berlangsung atas kerelaan dan persetujuan bapa mereka.

Dalam pada itu, Dewan Ulama PAS Pusat juga mendesak kerajaan memastikan tiga kanak-kanak itu tidak dipaksa untuk keluar daripada Islam.

“Umat Islam telah lama bersabar dan kita tidak mahu keharmonian agama yang dijamin oleh Perlembagaan Persekutuan akan membakar sentimen dan kemarahan umat Islam,” katanya.

Ia juga mencadangkan agar kerajaan menubuhkan Jawatankuasa Mediasi Agama untuk memastikan keislaman anak yang dipelihara ibu atau penjaga bukan Islam terpelihara, termasuk akidah, makan minum dan pendidikan. – 22 Februari, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen