Usah cabar keputusan hak penjagaan anak ditetapkan mahkamah, kata Suhakam


SURUHANJAYA Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) hari ini menggesa semua pihak berkenaan untuk tidak mencabar keputusan Mahkamah Tinggi yang memerintahkan Loh Siew Hong serta anaknya disatukan.

Pesuruhjaya Kanak-kanak Suhakam Noor Aziah Mohd Awal berkata kanak-kanak berkenaan dinafikan peluang untuk tinggal bersama ibu mereka selama tiga tahun.

“Maka, Suhakam merayu kepada semua pihak berkenaan supaya mematuhi keputusan mahkamah dan membenarkan anak-anak itu dikembalikan kepada ibu mereka,” katanya dalam satu kenyataan.

Aziah berkata demikian sebagai respons kepada keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur untuk Loh disatukan dengan tiga anaknya seperti diputuskan mahkamah sebelum ini yang memberikan hak penjagaan penuh kepada keluarganya.

Hakim Collin Lawrence Sequerah juga menolak hak penjagaan tidak sah terhadap tiga kanak-kanak itu, yang dipegang Jabatan Kebajikan Masyarakat dan seorang individu bernama Nazirah Nanthakumari.

“Tiga kanak-kanak itu akan diserahkan kepada hak jagaan sepenuhnya, penjagaan dan kawalan pemohon (Loh),” kata Sequerah.

Aziah berkata memisahkan kanak-kanak daripada ibu bapanya menyalahi Artikel 9 Konvensyen Hak Kanak-kanak (CRC) dan hak itu perlu dihormati dan dipertimbangkan dalam menilai kepentingan anak.

Dilaporkan kanak-kanak itu dikatakan ditukarkan agama secara sebelah pihak kepada Islam oleh pihak berkuasa agama Islam Perlis, atas permohonan bapa mereka pada Julai 2020.

Loh tidak tahu tentang pertukaran agama itu kerana beliau berada di pusat perlindungan dan sedang pulih daripada penderaan rumah tangga.

“Ibu itu tidak dapat menjaga anaknya walaupun mahkamah pada Disember 2019 dan Mac 2021 menyerahkan hak jagaan penuh anak kepada ibu,” katanya.

“Berkaitan dengan pertukaran agama secara sebelah pihak, Suhakam mengulangi keputusan Mahkamah Persekutuan dalam kes M. Indira Gandhi pada 2018.

“Jika ia berkaitan dengan kanak-kanak, pertukaran agama perlu dibuat dengan kebenaran kedua-dua ibu dan bapa mengikut peruntukan Artikel 12(4) Perlembagaan Persekutuan.

“Ia perlu ditekankan di sini pertukaran agama secara sebelah pihak bercanggah dengan Artikel 12(4) Perlembagaan Persekutuan. – 22 Februari, 2022.

Berita penuh di sini.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen