MENTERI Kanan Pertahanan Hishammuddin Hussein disahkan positif Covid-19 dan akan menjalani kuarantin, maklum pejabatnya dalam satu kenyataan.
Hishammuddin, yang menjalani ujian pengesanan Covid-19 dari masa ke masa, dikesan kali terakhir negatif pada Jumaat (18 Februari) lepas.
“Pejabat Menteri Kanan Pertahanan ingin memaklumkan Menteri Kanan Pertahanan, Hishammuddin Hussein disahkan positif Covid-19.
“Sebagai individu yang sudah menerima dos penggalak, beliau akan menjalani tempoh isolasi mengikut ketetapan semasa oleh pihak Kementerian Kesihatan Malaysia,” kata pejabatnya.
Kenyataan itu tidak menyebut sama ada Hishammuddin menjalani pengasingan di rumah atau di hospital tetapi berkata sepanjang tempoh pengasingannya, Hishammuddin akan memantau dan menjalankan tugas yang sesuai.
“Marilah kita sama-sama mendoakan, semoga beliau dan setiap individu yang dijangkiti wabak Covid-19 ketika ini segera dikurniakan kesembuhan oleh Allah, seterusnya dapat kembali menjalani rutin harian seperti sediakala. InsyaAllah,” kata kenyataan itu lagi. – 22 Februari, 2022.
Komen