Pau daging babi


Faisal Tehrani

KISAHNYA begini ya, banyak tahun yang lalu dia pernah tinggal di negara itu. Satu ketika dahulu. Sekarang, hari ini tidak lagi. Banyak tahun yang lalu, dia merupakan rakyat negara itu. Hari ini dia sudah meninggalkan negara tersebut. Banyak kenangan pahit di sana. Hari ini dia ingin mengenang hari-hari di sana.

Papa dan mama berkahwin sebagai pasangan suka sama suka. Mereka bercinta sungguh-sungguhan. Mereka sanggup terluka demi cinta mati.

Nenek dan datuk menghalang perkahwinan papa dan mama. Mereka dihujahkan masih muda. Terlalu muda. Mama baru habis sekolah. Papa juga. Itu bukan namanya cinta. Melainkan nafsu. Mereka dilamun cinta, dan sering memadu asmara.

Setelah begitu banyak halangan, dan pertengkaran yang berpanjangan. Akhirnya nenek dan datuk mengalah. Kerana menurut datuk, tidak mahu aib jika mama mengandung di luar perkahwinan. Kata nenek kepada mama, “Jangan fikir hidup kau akan senang kelak”.

Mungkin kata nenek itu satu sumpahan. Satu sergahan keras untuk mama. Bila mama dan papa berkahwin, mereka lupa tentang berkat. Mereka berkahwin senyap-senyap. Tanpa restu ibu bapa mereka. Cinta mereka subur tetapi kebencian juga ada tempatnya menyelinap tanpa sedar. Cinta tidak dapat hidup mekar demikian. Hatta Uda dan Dara pun memilih kematian.

Selepas beberapa lama, papa dan mama berhijrah ke pulau mutiara. Tak banyak yang dapat dilakukan di negeri kecil utara itu. Pembangunan terhad dan tertahan. Mulanya papa mula bekerja di ladang tebu, tetapi kerja itu terlalu kasar untuknya.

Di pulau mutiara, setelah berpindah papa bekerja di kilang. Mama berniaga menjual kuih pau di luar sebuah hotel. Char Siu Bao. Mama memang pandai dan air tangannya memang sedap.

Dia pernah melihat mama cekatan menyiapkan daging babi kukus yang dipelajarinya daripada nenek. Dua sudu minyak. Daun bawang. Bawang putih dan cengkih. Daging babi potong. Kicap. Sos tiram. Jagung.

Mama akan panaskan minyak dalam kuali, kemudian bawang dengan daging babi dimasukkan. Baunya semerbak. Selepas itu mama menuangkan tepung jagung terlarut. Dia selalu melihat mama mengacau tangkas sehingga daging babi itu berkilau kilat. Char Siu Bao mama laris. Char Siu Bao mama paling sedap di Acheen. Ramai orang sukakan Char Siu Bao bikinan mama.

Tidak lama kemudian papa berkawan dengan orang yang salah. Entah bagaimana papa terjerumus. Ini mungkin petakanya sebab papa bekerja di kilang plastik lebih 16 jam. Papa ingin melawan kantuk. Syabu. Papa ambil syabu. Papa bergelumang dengan methamphetamine. Sejak itu Char Siu Bao buatan mama tidak lagi sesedap itu buat papa. Yang sedap sudah benda lain.

Papa mulai ketagihan. Oleh sebab bekalan itu menyusut papa mulai mengambil syabu tiruan. Yang dikilangkan di makmal haram dengan bahan ephedrine, pseudoephedrine dan phenylpropanolamine. Dan bila bahan syabu buatan itu langka, pembuatnya memasukkan kandungan asid bateri dan pencuci longkang.

Menurut mama, papa ambil syabu yang berwarna putih kristal, ada juga yang warna putih kemerahan dan ada pula yang rasanya itu pahit. Bila papa ambil syabu, papa diselubungi euphoria – bertenaga dengan peningkatan aktiviti fizikal, hilang kantuk, dan bekerja lebih masa. Papa cakap merapu tentang tebu.

Pada hari-hari yang papa keputusan bekalan, dia akan murung, gelisah, resah, curiga, ganas dan dulang Char Siu Bao mama diterbalikkan. Papa juga menjadi semakin gila seks. Mama dirogol, dihenjut lima kali dalam sehari. Fajar-fajar, tengahari, petang sekali sebelum matahari terbenam, selepas ambang senja, dan pada malamnya. Lima kali sehari.

Begitulah dia mulanya terpancut masuk ke dalam rahim mama, dan menjadi janin membesar sebagai kandungan dan kemudian lahir sebagai manusia ke dunia ini. Papa semakin ganas. Papa mulai pandai menyeksa mama. Dia terhasil oleh perkosaan.

Dia tidak begitu mengingat zaman anak-anak. Tak banyak yang seronok. Dia hanya ingat dia kuat melalak. Papa menggila dan memukul mama, besi paip selalu hinggap di kaki mama, atau tangan mama. Kerana tidak lagi tahan mama meninggalkan mimpi Char Siu Bao. Itu semua hanya khayal yang tidak lagi penuh cinta. Mungkin itu kerana sumpahan nenek.

Mama melarikan diri ke rumah nenek. Akan tetapi nenek hanya menyambut mama dengan kebencian. Nenek memanggil dia “anak salah”. Datuk sudah meninggal dunia ketika itu. Oleh layanan buruk dan omelan nenek, mama membuat keputusan melarikan diri ke pergentingan, bekerja di KFC sana.

Satu hari papa mencari mama di pergentingan. Mama diseret di tengah parkir, dan dipukul sehingga patah riuk. Mama tidak sedar diri. Dia masih ingat bagaimana dia dibawa turun naik kereta kabel, kemudian dengan sebuah kereta; kemudiannya melalui jalan yang berlekuk dan meliuk dan dibawa ke negeri yang jauh. Nun di utara.

Dia terpisah daripada mama sedemikian lama. Dia tidak berjumpa lagi mama. Papa membawanya ke utara. Kemudian papa bilang dia sudah lain kepercayaan. Papa bilang dia ada mak cik. Ibu tiri. Mak cik itu baik. Orang beriman. Mak cik itu memberikannya nama baharu: Natrah.

Dia benci nama itu. Dia suka nama yang mama berikan. Sellamah. Nama itu membuatkannya rasa selamat. Rasa salmah. Papa menghantar dia ke sebuah sekolah asrama yang kotor. Kerana kata papa, di situ papa tak perlu memberi dia makan. Di sekolah itu ada orang yang beri makan. Dia disuruh belajar mengaji. Semuanya asing untuk dia. Tiba-tiba dia dikenakan litup. Tiba-tiba dia belajar huruf-huruf yang berpintalan. Tiba-tiba diperintahkan menghafal buta sesuatu yang sukar.

Kadang-kadang ustazah memeriksa seluar dalamnya, mencalit putik kapas; menghamunnya tidak semena-mena. Setiap hari dia disuruh mendengar dan menadah isi Najdiah, atau al-Aliu al-Bahiyyah Fi Syarhi al-‘Aqidah al-Wasithiyyah. Dia nanar.

Satu hari mak cik datang ke sekolah asrama yang kotor dan memberitahu. “Papa kau dah kena tangkap. Mak cik dah bercerai. Dia dah jatuh talak. Tiga.”

Dia dapat tahu papa ambil dan jual methamphetamine. Dia dapat tahu benda itu dikawal sebagai bahan psikotropik. Dia dapat tahu papa memiliki lebih 5 gram tetapi kurang dari 30 gram methamphetamine dan dikenakan hukuman penjara lima tahun dan sembilan sebatan. Sejak itu hidup dia terkontang-kanting.

Di sekolah yang kotor itu dia pernah sekali diberitahu, “Natrah, cukup umur nanti kamu akan dikahwinkan”.

Dia amat takut. Umur berapa dia akan dikahwinkan? Dan lagi namanya bukan Natrah. Namanya Sellamah. Dan bukankah dia dipaksa? Atau dia terpaksa? Dia malah terhimbau-himbau Char Siu Bao mama yang lazat itu tiap kali memandang muka ustaz.

Satu hari sewaktu dia sedang menghafal ayat yang terjemahannya berbunyi; “Tidak ada paksaan untuk (memasuki) agama (Islam); sungguh telah jelas jalan yang benar dari jalan yang sesat. Kerana itu barangsiapa yang ingkar kepada Thaghut dan beriman kepada Allah, maka sesungguhnya ia telah berpegang kepada buhul tali yang amat kuat yang tidak akan putus…” kakak senior memanggilnya keluar.

“Ada orang nak jumpa.”

Dia menyangkakan mak cik akan kembali untuk mengambilnya. Tetapi alangkah dia terkejut, di hadapannya adalah mama. Sekonyong-konyong ketika mama ingin memaut dan mendakapnya melepaskan rindu, mama direbut dan ditarik oleh ustazah-ustazah dan naqibah.

“Haram. najis. Kotor. Mughazalah.”

Semua kata itu berhamburan sekali. Mama bergumpal dan bertonyeh dengan mereka. Kemudian tiba-tiba tanpa sedar dia sudah dihayak bertemu ustaz itu, atau ustaz ini; mereka menjamunya satay. Dia tidak suka satay. Sisa daging akan melekat di celah giginya. Dia hanya suka Char Siu Bao.

Ustazah ghairah memberitahunya mama diusir, mama tak boleh bertemu dengannya. Muka dia entah kenapa terbit di dada akhbar dan perut tivi. Mama diberitakan sebagai perempuan jahat. Kisah mama yang kena belasah tidak jadi kehairanan. Semua orang bercakap tentang akidah.

Padahal mama hanya ingin memeluknya. Mama hanya ingin menyuap Char Siu Bao yang lama tidak dikecapnya. Char Siu Bao harum semerbak bikinan mama. Halus dicincang daging 24 kali hiris. Pau gebu yang tiada tandingan di Acheen. Dia masih ingat itu. Dia memang rindu suapan mama.

Dia ingat percekcokan yang taufan badai. Dia dibawa dengan kereta ke sebuah bangunan besar yang katanya tempat segala penyangak dikompromi. Dia ingat harinya ada lelaki duduk atas tempat tinggi lantas memberitahu dia adalah milik mama. Sebab dia bawah umur. Sebab papa salah sesuka hati sepihak berbuat sesuatu di luar usianya. Sebab ada ayat 256 surah al-Baqarah. Sebab kata hakim, “tidakkah beriman itu seperti kata cicit Rasulullah saw, seorang wali – Muhammad Ali al Baqir – iman itu adalah qawl bi al-lisan (kata-kata di lidah), keyakinan pada hati atau tasdiq bi al-janan dan perbuatan, tindak-tanduk iaitu amal bi al-arkan”.

Di luar bangunan itu ada hiruk pikuk, orang menyeru-nyeru namanya Natrah. Siapa? Natrah? Tetapi dia bukan Natrah. Dia Sellamah. Dia malah suka dan khayal dapat menikmati Char Siu Bao.

Mama memberitahu dia agar bersabar. Kata mama, tidak lama lagi papa akan keluar jel. Ketika itu kaki tangan mama akan patah lagi dihinggapi kaki tangan papa. Mereka tak boleh tunggu nyawa terancam. Tak ada siapa yang dapat membantu. Kata mama, mulai hari itu mereka akan meninggalkan tanah air tercinta.

Sebab papa tidak lagi sayang mereka. Nenek tidak lagi sayang mereka. Masyarakat gagal menyayangi mereka. Kepala negara tak anggap mereka keluarga. Tak ada siapa akan melindungi mereka.

Sedangkan mama tak peduli pun benda lain. Mama hanya mahu menjadi seorang mama. Tup-tup mereka terbang. Dia mengikut mama berhijrah ke New York. Di sini, mama sudah menukar identitinya. Dia bukan lagi Natrah. Bukan lagi Sellamah.

Di New York, mama menjadi penjual Char Siu Bao lazat yang tersohor. Memang terkenal sampai Presiden Joe Biden pun pernah singgah menikmati Char Siu Bao bikinan mama selepas satu mesyuarat mengenai Ukraine.

Dia gembira di New York. Dia ingin belajar pandai-pandai dan masuk sekolah filem. Dia mahu bikin filem tentang kisah hidupnya yang begitu berwarna itu. Dia akan namakan filem itu Char Siu Bao. Dia sudah menghubungi Michelle Yeoh untuk berlakon jadi mama. Henry Golding pun akan berlakon sebagai peguam hak asasi manusia. Dia sudah hubungi seorang penulis Syiah yang liberal untuk menulis lakon layar.

Banyak tahun yang lalu dia pernah tinggal di negara itu. Sekarang, hari ini tidak lagi. Banyak tahun yang lalu, dia merupakan rakyat negara itu. Hari ini dia sudah meninggalkan negara tersebut. Banyak kenangan pahit di sana. Tetapi ada satu yang manis dan lemak sekali – Char Siu Bao.

Pau daging babi. – 22 Februari, 2022.

* Mohd Faizal Musa atau Faisal Tehrani bertugas sebagai felo di Institut Alam dan Tamadun Melayu (UKM), Felo Pelawat di ISEAS-Yusuf Ishak dan Bersekutu untuk sebuah projek di bawah Weatherhead Center, Universiti Harvard. Faisal menulis mengenai pelbagai perkara yang menjadi minat beliau.

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen