Siti Kasim, rakan berdepan laluan sukar pada PRU15, kata penganalisis


Alfian Z.M. Tahir

Peguam Siti Kasim yang akan bertanding pada PRU15 berkata perubahan hanya dapat berlaku melalui Parlimen saja. – Gambar fail The Malaysian Insight, 22 Februari, 2022.

CALON Gerak Independent mungkin berdepan cabaran sukar untuk memenangi kerusi yang mereka tandingi pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) kerana mereka tidak dilengkapi jentera parti, kata pemerhati politik.

Mereka juga tidak bersetuju dengan keputusan Gerak untuk bertanding di kerusi yang kini disandang Pakatan Harapan (PH), dengan berkata tindakan itu hanya menguntungkan Barisan Nasional (BN) atau Perikatan Nasional (PN).

Minggu lalu Gerak mengumumkan rancangannya untuk bertanding di kerusi Batu, Subang, Petaling Jaya, Wangsa Maju dan Kota Kinabalu yang kesemuanya disandang PH dan dianggap sebagai kubu kuat pembangkang.

Calon bebas yang bertanding di kerusi tersebut ialah aktivis dan peguam hak asasi manusia Siti Kasim (Batu), bekas wartawan Charles C.J. Chow (Subang), aktivis K.J. John (Petaling Jaya), penduduk Wangsa Maju Raveentheran Suntheralingam (Wangsa Maju) dan peguam Roland Cheng (Kota Kinabalu) yang berpangkalan di Sabah.

Tawfik Ismail, yang merupakan bekas ahli Parlimen Umno Sungai Benut, akan bertanding di kerusi keenam, yang masih belum diputuskan.

Bagaimanapun, Charles C.J. Chow malam tadi berkata beliau telah keluar daripada Gerak dan tidak akan bertanding di kerusi Subang.

James Chin dari Universiti Tasmania memberitahu The Malaysian Insight walaupun beliau menyokong beberapa individu dalam Gerak, beliau tidak menyukai beberapa pilihan yang dibuat oleh kumpulan itu.

Katanya, dengan bertanding di kerusi yang disandang PH, Gerak memberi peluang kepada BN atau PN untuk memenangi kerusi tersebut.

“Saya menyokong ramai calon mereka, saya rasa kita memerlukan sebahagian daripada mereka di Parlimen tetapi saya tidak bersetuju dengan pilihan yang mereka buat, contohnya bertanding di Subang.

“Subang ada ahli Parlimen yang berwibawa, Wong Chen. Jadi saya tidak faham kenapa mereka mahu ‘kacau’ kerusi di mana ahli Parlimen itu menjalankan tugas dengan baik.

“Lebih baik mereka bertanding di kerusi yang ahli Parlimen yang tidak cekap.

“Dari segi kemenangan, saya tidak fikir mereka mempunyai peluang, mereka akan memecahkan undi dan memberi kelebihan kepada Umno atau MCA atau sesiapa sahaja yang akan bertanding,” kata ahli akademik itu.

Chin berkata pengundi memilih calon daripada parti politik kerana ramai berpendapat bahawa calon bebas tidak boleh memberi impak besar di Parlimen.

“Punca calon bebas tidak boleh menang adalah kerana mereka tidak banyak boleh dibuat di Parlimen. Mereka boleh dapat undi tetapi akan memburukkan lagi keadaan pembangkang,” tambahnya.

Badrul Hisham Ismail dari Iman Research berkongsi sentimen Chin.

Beliau berkata Gerak tidak bertanding menentang BN atau PN tetapi menentang PH yang mereka mempunyai sedikit persefahaman politik.

Beliau berkata untuk Gerak menang kerusi, mereka sekurang-kurangnya perlu mempunyai jentera untuk menggerakkan kempennya.

“Bagi calon bebas, sukar untuk mereka menang, terutama dalam PRU kerana untuk menang, anda memerlukan jentera pilihan raya.

“Anda menang bukan kerana anda seorang selebriti terkenal tetapi kerana kempen dan jentera pilihan raya. Anda perlu mempunyai hubungan dengan rakyat, akar umbi dan itu adalah tugas jentera anda.

“Bagi Gerak, ia membingungkan saya mengapa mereka menentang PH. Ia seperti anda mengambil jalan mudah. ​​Teruskan untuk melawan BN dan PN di kawasan mereka,” kata Badrul.

Gerak yang sebelum ini menggembar-gemburkan dirinya sebagai kuasa ketiga, berkata ia terbuka untuk membentuk pakatan strategik dengan parti atau individu lain untuk menjayakan usahanya – menjadikan negara lebih adil kepada semua.

Calonnya akan terikat dengan lima komitmen – Perjanjian Malaysia 1963; menamatkan perpecahan politik; mengembalikan semula kebebasan kepada rakyat; memulihkan kuasa institusi kembali kepada rakyat; dan, mewujudkan dasar afirmatif berasaskan keperluan atau program pembasmian kemiskinan.

Gerakan itu dilancarkan pada Ogos tahun lalu, dan diketuai oleh Malaysian Action for Justice and Unity (Maju) dan pertubuhan bukan kerajaan lain.

Pengasas Maju Siti Kasim berkata Gerak bertujuan untuk mengubah Malaysia melalui satu-satunya langkah penyelesaian yang berdaya maju iaitu Parlimen.

Bebas perlukan kerjasama

Sementara itu, Dr Oh Ei Sun dari Institut Hal Ehwal Antarabangsa Singapura berkata Gerak mesti mempunyai sekutu dan menjadi sebahagian daripada parti politik.

Memetik contoh beberapa calon dalam pilihan raya lalu, Oh berkata, calon bebas tidak boleh menang sendirian.

“Nampaknya rekod prestasi bagi calon bebas untuk bertanding dan menang sendirian atau pun dalam pakatan longgar tidak begitu berkesan.

“Aktivis terkemuka kemungkinan besar perlu buat sementara waktu ‘meletakkan diri’ di bawah, atau bahkan mendapatkan sokongan tidak rasmi, beberapa parti utama untuk mempunyai peluang kemenangan yang realistik.

“Contohnya, Maria Chin, Wong Tuck dan Prabhakaran,” katanya.

Maria Chin Abdullah adalah aktivis sebelum bertanding di bawah simbol PKR pada PRU lalu. 

Beliau memenangi kerusi Petaling Jaya Utara. Wong Tuck, pula seorang aktivis alam sekitar mengalahkan penyokong kuat MCA Liow Tiong Lai pada 2018. Beliau bertanding di bawah DAP.

Prabhakaran pula menang kerusi Batu sebagai calon bebas yang disokong PH. Beliau kemudiannya menyertai PKR.

Pensyarah Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Dr Mazlan Ali juga berkata peluang Gerak untuk menang agak sukar.

“Ia bukan mudah sebagai seorang bebas. Lihatlah Isa Samad ketika bertanding sebagai calon bebas di Port Dickson pada 2018. Beliau tidak menang walaupun bekas menteri besar.

“Bagaimana Gerak boleh menang sedangkan mereka tidak dikenali orang ramai. Mereka boleh dapat undi, tetapi untuk menang hampir mustahil. Mereka hanya akan memecahkan undi,” katanya lagi. – 22 Februari, 2022.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen