Kadar penggunaan ICU di 11 negeri bawah 50%, kata Noor Hisham


Sebanyak 3 negeri menunjukkan peratusan penggunaan katil ICU lebih 50% iaitu Johor (70%); Kuala Lumpur (65%); dan Melaka (50%). – Gambar fail The Malaysian Insight, 21 Februari 2022.

KADAR penggunaan katil Unit Rawatan Rapi (ICU) hospital di Wilayah Persekutuan Putrajaya dan Labuan serta 11 negeri lain adalah di bawah 50% setakat 20 Februari, kata Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah.

Beliau berkata negeri itu adalah Perlis; Kedah; Pulau Pinang; Perak; Selangor; Negeri Sembilan; Pahang; Terengganu; Kelantan; Sabah dan Sarawak.

“Katil ICU yang disediakan di Putrajaya adalah enam dan hanya mencatatkan satu penggunaan manakala bagi Labuan sebanyak tujuh katil disediakan dan tidak mencatatkan sebarang penggunaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.  

Beliau berkata antara negeri yang mencatat kadar peratusan penggunaan katil ICU yang rendah ialah Negeri Sembilan iaitu 8%; Sarawak (13%); Pahang (14%); Kedah (15%); Putrajaya (17%); dan Terengganu (20%).

Beliau berkata secara keseluruhan, Kementerian Kesihatan mendapati kapasiti fasiliti kesihatan di hospital awam masih boleh menampung kes Covid-19 dan yang lain.

Namun begitu, setiap negeri bersiap siaga dengan pelan tindak balas cepat sekiranya berlaku peningkatan kes, katanya sambil memberitahu tiga negeri menunjukkan peratusan penggunaan katil ICU lebih 50% iaitu Johor (70%); Kuala Lumpur (65%); dan Melaka (50%). 

Sementara itu, Noor Hisham berkata sebanyak 26,832 kes Covid-19 dilaporkan semalam menjadikan kes kumulatif kepada 3,221,680 dan daripada jumlah kes baharu itu, 1,438 kes dimasukkan ke hospital.

Beliau berkata bagi kes baharu, 133 daripadanya adalah kategori 3, 4 dan 5 manakala 26,699 terdiri daripada kategori 1 dan 2.

“Individu yang belum menerima vaksin dan tidak pernah dijangkiti Covid-19 adalah kumpulan paling berisiko mendapat jangkitan Covid-19,” katanya.

Mengenai kes sembuh, Noor Hisham berkata sebanyak 18,459 kes dilaporkan semalam menjadikan kes kumulatif sembuh di negara ini adalah 2,937,655. – Bernama, 21 Februari, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen