PERDANA Menteri Britain Boris Johnson dijangka mengumumkan penamatan semua sekatan undang-undang pandemik di England, menegaskan sudah tiba masanya untuk bergerak maju.
Dua tahun selepas Covid-19 mencetuskan krisis kesihatan terburuk dalam beberapa generasi, Johnson akan berucap di Parlimen untuk menggariskan rancangannya.
Bagaimanapun, beliau dituduh oleh parti pembangkang kerana cuba mengalih perhatian umum, dengan jawatan perdana menteri dalam bahaya ketika polis menyiasat beberapa siri parti yang melanggar sekatan di Downing Street.
“Hari ini (Isnin) akan menandakan detik kebanggaan selepas salah satu tempoh paling sukar dalam sejarah negara kita apabila kita mula belajar untuk hidup dengan Covid,” kata Johnson dalam satu kenyataan dari Downing Street.
“Pandemik belum berakhir, tetapi terima kasih kepada pelancaran vaksin yang luar biasa, kita kini selangkah lebih dekat ke arah kembali normal dan akhirnya membebaskan rakyat sambil terus melindungi diri kita dan orang lain.”
Di bawah rancangan “hidup bersama Covid”, kerajaannya berkata minggu ini ia berhasrat untuk menamatkan keperluan undang-undang bagi orang ramai untuk mengasingkan diri apabila dijangkiti coronavirus.
Ia berkata pihak berkuasa tempatan akan diminta menguruskan pandemik dengan kuasa undang-undang sedia ada, dan dijangka menghentikan ujian Covid percuma kepada orang awam secara berperingkat. – AFP, 21 Februari, 2022.
Komen