Kes Loh bukan mengenai agama, tapi untuk satukan ibu dan anak, kata peguam 


Ravin Palanisamy

Peguam Shamsher Singh Thind ketika tiba di Mahkamah Tinggi di Kuala Lumpur hari ini.– Gambar The Malaysian Insight oleh Seth Akmal, 21 Februari, 2022.

IA hanyalah kes menyatukan semula seorang ibu dengan tiga anaknya yang masih kecil, dan bukan mengenai agama anak-anak itu, kata peguam Shamsher Singh Thind hari ini.

Beliau merujuk kepada permohonan sah ibu tunggal Loh Siew Hong untuk bersatu dengan anak-anaknya yang telah ditukar agama secara unilateral.

Shamsher yang merupakan peguam Loh, berkata persoalan sama ada kanak-kanak itu menyayangi ibu mereka tidak timbul semasa mereka berdamai, mendakwa beliau adalah penjaga yang sah kepada mereka seperti yang diarahkan oleh mahkamah.

“Isunya ialah ibu kandung (Loh) telah diberi hak penjagaan dan kawalan penuh terhadap anak-anak itu.

“Walaupun selepas arahan dikeluarkan, beliau masih menghadapi kesukaran untuk bertemu semula dengan anak-anaknya, kerana pihak tertentu menetapkan syarat mereka sendiri.

“Semua ini bukan sebahagian daripada undang-undang kerana dia telah diberikan hak penjagaan dan kawalan penuh,” kata Shamsher kepada pemberita di luar lobi mahkamah.

Hari ini, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini memerintahkan Loh disatukan semula dengan anak-anaknya.

Hakim Collins Sequerah menyampaikan keputusan itu hari ini, turut membatalkan penjagaan secara tidak sah ke atas tiga kanak-kanak berkenaan oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat dan seorang individu Nazirah Nanthakumari.

Loh telah dipisahkan daripada anak-anaknya - kembar perempuan berusia 14 tahun dan seorang lelaki berusia 10 tahun - sejak 2019 ketika dia berada di hospital akibat kecederaan yang didakwanya didera oleh Naghaswaran Muniandy.

Pada bulan Julai 2020, bekas suami Loh, Nagahswaran Muniandy, menukarkan agama anak-anak mereka, dan Loh tidak dapat menemui mereka selain terhalang oleh sekatan pergerakan Covid-19.

Naghaswaran kini berada di penjara di Kelantan atas kesalahan berkaitan dadah.

Loh diberikan hak penjagaan penuh ke atas kanak-kanak itu Mac lalu, dan akhirnya dapat mengesan mereka awal bulan lalu di sebuah rumah kebajikan Perlis dan mengetahui mereka telah menukar agama.

Beliau turut membuat laporan polis selepas tidak dapat menemui mereka.

Walaupun mendapat hak penjagaan daripada mahkamah, polis mahupun pihak berkuasa kebajikan tidak menyerahkan kanak-kanak itu kepadanya.

Jurucakap Tamilar Kural Malaysia David Marshel melahirkan rasa gembira kerana dapat menyatukan semula Loh dan anak-anaknya.

Beliau menegaskan bahawa agama anak-anak adalah urusan peribadi, yang akan diputuskan oleh keluarga.

“Kami sangat gembira dengan keputusan hakim untuk menyatukan semula Loh dan anak-anaknya.

“Isu penukaran agama tiga beranak itu bukanlah perkara yang kami ketengahkan sejak hari pertama tetapi kami masih dilabel sebagai anti Islam, ekstremis dan lain-lain.

“Jika mereka mahu menukar agama, itu adalah isu peribadi keluarga tetapi motif kami hanya untuk menyatukan mereka semula,” katanya.

Loh telah diberikan ex-parte interim bertarikh 20 Disember 2019, memberikan hak penjagaan, penjagaan dan kawalan penuhke atas tiga anak itu.

Mahkamah Tinggi juga mengeluarkan perintah bertarikh 31 Mac tahun lepas, memberikan hak penjagaan dan kawalan sepenunya kepada Loh terhadap ketiga-tiga kanak-kanak itu. – 21 Februari, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen