79% daripada 191 kematian ibu hamil tidak vaksin, kata KP kesihatan


Liputan vaksin 94.7% pada umur 18 tahun ke atas tercapai pada Oktober 2021 dan ini menyumbang kepada penurunan kematian ibu hamil akibat komplikasi Covid-19, kata Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah. – Gambar fail The Malaysian Insight, 21 Februari, 2022.

SEBANYAK 79% daripada 191 kes kematian akibat komplikasi jangkitan Covid-19 dalam kalangan ibu hamil pada tahun lepas, terdiri daripada mereka yang tidak menerima suntikan vaksin.

Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah berkata kesemua kematian dalam kalangan ibu hamil yang dilaporkan sejak pandemik Covid-19 melanda negara, turut melibatkan 83% daripada mereka yang mempunyai komorbiditi.

Namun menurutnya, bagi tahun ini sehingga 15 Februari, tiada kes kematian melibatkan ibu hamil disebabkan jangkitan Covid-19 dilaporkan.

“Liputan vaksin yang tinggi iaitu 94.7% pada umur 18 tahun ke atas tercapai pada Oktober 2021 dan ini menyumbang kepada penurunan kematian ibu hamil akibat komplikasi Covid-19,” katanya dalam satu hantaran di Facebook.

Beliau berkata sejumlah 18,277 kes jangkitan Covid-19 dalam kalangan ibu hamil dilaporkan dari Mac 2020 sehingga Januari tahun ini. – Bernama, 21 Februari, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen