Zahid sedia sumpah laknat tidak pernah minta Muhyiddin selesai kes mahkamah


Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi sedia bersumpah laknat tidak pernah berjumpa dan meminta tolong Muhyiddin Yassin untuk selesaikan kes mahkamah yang sedang dihadapinya. – Gambar fail The Malaysian Insight, 21 Februari, 2022.

PRESIDEN Umno Ahmad Zahid Hamidi sedia bersumpah laknat tidak pernah berjumpa dan meminta tolong daripada bekas perdana menteri Muhyiddin Yassin untuk menyelesaikan kes mahkamah yang sedang dihadapinya.

“Saya tidak pernah pergi berjumpa dengan Tan Sri Muhyiddin Yassin ketika beliau menjadi perdana menteri untuk meminta tolong dilepaskan dari tuduhan mahkamah. Apatah lagi dengan membawa timbunan fail seperti yang didakwa dan minta untuk dilepaskan.

“Bagi membuktikan kebenaran ini, saya sanggup dan bersedia untuk melakukan sumpah laknat sebagai penafian kepada tuduhan jahat Muhyiddin ke atas saya,” katanya dalam satu komentar di Facebook.

Beliau juga mencabar Muhyiddin untuk melakukan sumpah laknat sama mengesahkan tuduhannya itu.

Zahid berkata dakwaan Muhyiddin, yang dibuat menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, hanyalah cerita yang biasanya keluar pada musim pilihan raya.

“Selepas ini pasti akan lebih banyak cerita. Kita tunggulah selepas penamaan calon dan tempoh berkempen dalam PRN Johor nanti,” tambahnya.

Zahid percaya lawan Umno akan terus menjaja pelbagai cerita tentang pemimpin Umno pada PRN Johor ini.

“Strategi mereka, jika tidak boleh menyerang calon Umno di Johor, alihkan perhatian ke drama di peringkat nasional,” katanya.

Semasa berceramah di Tangkak minggu lalu, Muhyiddin berkata Zahid pernah datang bertemunya tidak lama selepas beliau dilantik perdana menteri, membawa “fail bertimbun”, meminta beliau membantu menyelesaikan kes mahkamah yang dihadapinya.

Pada 23 Januari, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur memerintahkan Zahid membela diri terhadap 47 pertuduhan rasuah, pecah amanah dan pengubahan wang haram melibatkan dana Yayasan Akalbudi.

Hakim Collin Lawrence Sequerah menetapkan prosiding membela diri selama 35 hari bermula 26 April hingga 10 November.

Presiden Umno itu juga berdepan 40 lagi pertuduhan jenayah rasuah melibatkan wang berpuluh-puluh juta ringgit.

Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan penamaan calon pada 26 Februari dan pengundian pada 12 Mac. – 21 Februari, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen